Dua pelancong wanita mahu masuk Langkawi diarah patah balik

Dua pelancong wanita diarah berpatah balik ke Kuala Perlis selepas pemeriksaan mendapati tempoh matang suntikan dos kedua mereka belum mencapai 14 hari seperti ditetapkan. Foto PDRM Langkawi
Dua pelancong wanita diarah berpatah balik ke Kuala Perlis selepas pemeriksaan mendapati tempoh matang suntikan dos kedua mereka belum mencapai 14 hari seperti ditetapkan. Foto PDRM Langkawi
A
A
A

LANGKAWI - Dua pelancong wanita yang mahu memasuki Pulau Langkawi diarah berpatah balik ke Kuala Perlis selepas pemeriksaan mendapati suntikan dos vaksin Covid-19 yang diterima mereka belum cukup tempoh matang 14 hari.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, wanita berusia 32 dan 35 tahun itu dikesan melakukan kesalahan itu ketika anggota polis melakukan pemeriksaan ke atas penumpang yang baru tiba di Terminal Feri Kuah pada 12 tengah hari Ahad.

Menurutnya, berikutan itu, kedua-duanya diarah berpatah balik ke Kuala Perlis dengan menaiki feri kenderaan dan penumpang dari Dermaga Tanjung Lembung pada jam 2 petang, hari sama.

“Kedua-dua wanita itu menaiki feri penumpang dari Terminal Feri Kuala Perlis untuk bercuti bersama ke Langkawi. Pemeriksaan anggota polis bertugas di balai ketibaan Terminal Feri Kuah mendapati mereka telah menerima dua dos suntikan vaksin Covid-19, namun tempoh matang suntikan dos kedua belum capai 14 hari seperti ditetapkan, iaitu kurang tiga hari," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Shariman berkata, berikutan itu kedua-dua wanita terbabit dirujuk kepada Pegawai Perubatan yang berada di lokasi pemeriksaan bagi melakukan pengesahan status vaksin.

Mengulas mengenai projek rintis gelembung pelancongan Langkawi, katanya, sehingga hari kelima Langkawi dibuka kepada pelancong, belum ada kompaun dikeluarkan terhadap pelancong atas kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP).

"Sepanjang tempoh pemantauan pematuhan SOP gelembung pelancongan, polis belum mengeluarkan kompaun ke atas pelancong sejak Khamis lalu.

"Semua pelancong yang ingin masuk ke Langkawi dinasihatkan agar terus mematuhi SOP ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi mengelak tindakan diambil," katanya.

Artikel Berkaitan: