KTMB siasat dakwaan Sajat guna kereta api lolos ke Thailand

Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat
Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau Nur Sajat
A
A
A

SHAH ALAM - Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan menjalankan siasatan dalaman berhubung laporan media yang mendakwa usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali sebagai Nur Sajat meloloskan diri ke Thailand menggunakan gerabak kereta api di Padang Besar, Perlis.

KTMB dalam satu kenyataan memaklumkan, ia berikutan fasiliti dan terminal kargo KTMB dikawal ketat oleh pihak berkuasa seperti Polis Bantuan serta Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

“Dimaklumkan bahawa kontena kargo yang dibawa ke Thailand adalah milik syarikat perkapalan yang disewa oleh pelanggan KTMB di Malaysia dan Thailand.

“KTMB tidak bertanggungjawab di atas kandungan kontena berkenaan sama ada kontena kosong atau bermuatan,” menurut kenyataan itu pada Isnin.

KTMB turut menegaskan, setiap tren kargo yang membuat perjalanan merentasi sempadan antarabangsa perlu melepasi pemeriksaan yang diteliti oleh pihak berkuasa kedua-dua negara sempadan.

"Proses ini melibatkan pemeriksaan dokumentasi serta fizikal ke atas gerabak dan barangan.

"Justeru, KTMB akan menjalankan siasatan dalaman mengenai perkara tersebut,” kata KTMB.

Artikel Berkaitan: