X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

'Terima kasih akui PH bukan lagi ancaman terhadap Melayu, Islam'

Mahfuz
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen pembangkang menzahirkan ucapan terima kasih kepada parti-parti dalam kerajaan kerana akhirnya mengakui Pakatan Harapan (PH) bukan lagi ancaman kepada Melayu dan Islam.

Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) berkata, pendirian itu jelas berbeza berbanding sebelum ini dengan termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan PH baru-baru ini.

Katanya, PH yang dianggotai Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP sebenarnya penyumbang kepada kestabilan politik dalam negara.

"Saya menyambut baik (dengan termeterainya MoU) dan ini akan meredakan suhu politik perkauman dan keagamaan yang sempit. Jadi saya ucapkan tahniah mereka menyetujui kehadiran PH bukan lagi ancaman kepada Melayu dan Islam.

"Jadi saya harap selepas ini khususnya untuk pilihan raya akan datang ini jangan lagi bermain dengan isu perkauman yang sempit kerana boleh mengheret kepada pertelagahan rakyat pelbagai kaum dan agama dalam negara kita.

"Terima kasih kepada semua yang mengakui kehadiran PH tidak lagi dilihat ancaman kepada Melayu dan Islam dalam negara kita," katanya dalam sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Isnin.

Pada 13 September lalu, politik Malaysia mencatat sejarah buat kali pertama apabila kerajaan dan pembangkang menandatangani MoU dalam urusan pentadbiran negara.

Upacara menandatangani MoU yang dikenali Transformasi dan Kestabilan Politik itu diketuai Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mewakili kerajaan.

Pihak Pakatan Harapan (PH) pula diwakili Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim; Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu, Datuk Seri Wilfred Madius Tangau.

Pemeteraian itu disaksikan Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Rais Yatim dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!