X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 01 Disember 2021

Shafee beli rumah banglo di Bukit Tunku guna cek RM9.5 juta

Muhammad Shafee tiba di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin diberitahu bahawa cek berjumlah RM9.5 juta yang diterima Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah daripada Datuk Seri Najib Tun Razak pada 2013 dan 2014 digunakan untuk membeli sebuah rumah banglo di Bukit Tunku di sini.

Penolong Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Nasharudin Amir, 49, berkata, Muhammad Shafee membuat pengakuan itu ketika percakapannya dirakam oleh beliau (Mohd Nasharudin) pada 28 Julai 2017.

"Berdasarkan jawapan yang diberikan Muhammad Shafee dalam rakaman percakapan, dua keping cek masing-masing bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta yang diterima daripada Najib sebagai bayaran khidmat nasihat guaman yang diberikan peguam itu kepada bekas perdana menteri berkenaan dan parti, digunakan untuk membeli rumah bernilai RM9.5 juta," katanya.

Mohd Nasharudin yang ketika itu Ketua Unit Siasatan Cawangan Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Bahagian Siasatan SPRM Putrajaya berkata, Muhammad Shafee memberitahunya bahawa pemberian cek RM9.5 juta itu, tiada kaitan dengan pelantikannya sebagai timbalan pendakwa raya dalam kes rayuan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Saksi pendakwaan keempat itu berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada hari ketiga perbicaraan kes Muhammad Shafee yang didakwa menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta daripada Najib dan dua pertuduhan membuat penyataan palsu kepada Lembaga Hasil dalam Negeri (LHDN).

Menurut saksi itu, Muhammad Shafee juga memberitahunya bahawa beliau tidak mengetahui punca wang bagi kedua-dua cek yang beliau terima dan tidak pernah bertanyakan kepada Najib dari mana punca wang tersebut.

Mengenai proses rakaman percakapan, Mohd Nasharudin berkata, ia dibuat di pejabat Tetuan Shafee & Co dan Muhammad Shafee yang tidak digari kerana ketika itu, adalah saksi berhubung siasatan kes wang berjumlah RM2.6 bilion yang didakwa dimasukkan ke dalam akaun Najib sebelum dipindahkan ke akaun beberapa individu dan syarikat.

Semasa disoal balas peguam Harvinderjit Singh, saksi itu berkata, beliau tidak ingat sama ada telah meminta sebarang dokumen berkaitan pembelian rumah berkenaan daripada Muhammad Shafee ketika rakaman percakapan direkodkan.

Sementara itu, Penolong Penguasa di Cawangan Siasatan D, Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, Zulfaqar Mohd Khalil, 29, memberitahu ketika merakam percakapan Muhammad Shafee pada 11 September 2018, di ibu pejabat suruhanjaya itu, peguam berkenaan juga memberitahu bahawa wang tersebut digunakan untuk pembelian tanah dan banglo tiga tingkat.

Saksi pendakwaan kelima itu berkata, Muhammad Shafee memaklumkan demikian selepas beliau dirujuk dokumen asal perjanjian jual beli bertarikh 21 Feb 2014 semasa rakaman percakapannya diambil.

Zulfaqar berkata Muhammad Shafee turut memaklumkan bahawa beliau memberi khidmat guaman kepada klien daripada Barisan Nasional, berkaitan petisyen pilihan raya bagi 2004 hingga 2006, dengan 46 fail telah dibuka.

“Muhammad Shafee juga menjelaskan bahawa beliau telah berjumpa Najib pada 5 September 2013 dan menyatakan jumlah keseluruhan kos khidmat guaman yang telah diberikan adalah kira-kira RM12 juta. Beliau mencadangkan kepada Najib sekiranya bayaran hendak dibuat, jumlah sebenar adalah RM11.5 juta.

“Dalam perjumpaan itu, Muhammad Shafee mengesahkan beliau ada memaklumkan kepada Najib bahawa beliau memerlukan duit untuk membeli rumah bernilai RM9.5 juta dan Najib memberitahu kepada peguam itu untuk mengambil RM9.5 juta terlebih dahulu sebelum memberikan dua keping cek masing-masing bernilai RM4.3 juta dan RM5.2 juta.

"Menurut Muhammad Shafee, Najib bersetuju supaya RM9.5 juta sebagai pinjaman sehinggalah beliau dan Najib membuat ‘rationalisation’," kata saksi berkenaan.

Pada 13 September 2018, Muhammad Shafee mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan menerima wang hasil kegiatan haram berjumlah RM9.5 juta melalui dua cek dikeluarkan oleh Najib yang dimasukkan ke dalam akaun CIMB Bank Berhad miliknya.

Beliau didakwa menerima cek RM4.3 juta pada 13 September 2013 dan RM5.2 juta pada 17 Februari 2014.

Muhammad Shafee dituduh melakukan kedua-dua kesalahan itu di CIMB Bank Bhd, Taman Tunku, Bukit Tunku di sini mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara lima tahun dan denda RM5 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Peguam itu juga berdepan dua pertuduhan terlibat dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram iaitu mengemukakan penyata tidak betul dan bertentangan dengan perenggan 113(1)(a) Akta Cukai Pendapatan 1967 bagi tahun kewangan berakhir pada 31 Disember 2013 dan 31 Disember 2014.

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di LHDN cawangan Jalan Duta, Kompleks Pejabat Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim di sini pada 3 Mac 2015 dan 29 Jun 2015 dan berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah hasil aktiviti haram.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin bersambung esok. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!