PICK-Remaja sasar 3.2 juta remaja terima vaksin Covid-19

Foto Facebook Dr Noor Hisham
Foto Facebook Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK-Remaja) menyasarkan 3.2 juta remaja berumur 12 hingga 17 tahun untuk menerima vaksin Covid-19.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, PICK-Remaja adalah amat penting sebagai persediaan untuk pembukaan sekolah pada bulan Oktober nanti khususnya pelajar tingkatan empat dan lima.

Menurutnya, pelaksanaan program adalah untuk memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dikurangkan dan seterusnya mencegah kejadian kluster dan kes dalam kalangan warga sekolah.

“Sehingga 15 September, kelulusan pemberian vaksin Covid-19 adalah untuk remaja yang berumur 16 hingga 17 tahun yang akan menduduki peperiksaan awam.

“Seterusnya, remaja 12 tahun hingga 15 tahun bersekolah, remaja 12 hingga 17 tahun yang berada dalam institusi perlindungan, pemulihan dan tahanan, remaja daripada kumpulan rentan seperti remaja gelandangan, pelarian dan bukan warganegara berusia 12 hingga 17 tahun.

“CITF (Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19) telah memberikan kelulusan pelaksanaan PICK-Remaja kepada Sarawak pada 8 September 2021 dan Wilayah Persekutuan Labuan pada 11 September 2021 oleh kerana liputan imunisasi Covid-19 dalam kalangan dewasa di kedua-dua negeri tersebut telah mencapai 80 peratus,” katanya dalam satu hantaran di Facebook pada Isnin.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, PICK-Remaja di Sabah pula telah bermula pada 16 September 2021 kerana sebahagian besar remaja tinggal di kawasan pendalaman dan memerlukan lebih masa bagi aktiviti jangkau luar (outreach).

Jelas beliau, sehingga 16 September 2021, seramai 85,076 remaja telah diberikan dos pertama vaksin Covid-19 di negeri-negeri tersebut.

Artikel Berkaitan:

“Pelaksanaan PICK Remaja adalah di bawah kelolaan Jawatankuasa Bertindak Imunisasi Covid-19 (CITF-A) yang dipengerusikan oleh Timbalan Menteri Kesihatan 1, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali yang telah bertanggungjawab dalam penetapan dasar dan penyelarasan pelan vaksinasi remaja.

“Keanggotaan CITF-A melibatkan agensi-agensi yang terlibat secara langsung dalam hal ehwal remaja seperti pendidikan, perlindungan, pemulihan dan tahanan,” ujarnya.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia mengucapkan terima kasih kepada Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin serta seluruh warga Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) atas kerjasama dan kesungguhan melaksanakan PICK-Remaja, di samping semua agensi, petugas dan pelaksana dalam memastikan program PICK-Remaja berjalan lancar.