NS beri skim insurans percuma kepada penghantar makanan

Aminuddin (tengah) bersama penghantar makanan yang menerima kad insurans Tabah di kediaman rasmi Menteri Besar di Seremban pada Isnin.
Aminuddin (tengah) bersama penghantar makanan yang menerima kad insurans Tabah di kediaman rasmi Menteri Besar di Seremban pada Isnin.
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan menyediakan skim Pelan Etiqa Takaful Insurans Tabah (Pusat Pembangunan Belia Harapan Negeri Sembilan) secara percuma kepada 500 penghantar makanan di negeri ini.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, setiap penghantar makanan terpilih diberi perlindungan insurans sehingga RM10,000 dengan caruman bulanan sebanyak RM30 bagi tempoh setahun yang ditaja sepenuhnya oleh kerajaan negeri.

Beliau berkata, kerajaan negeri mengiktiraf penghantar makanan sebagai salah satu kumpulan barisan hadapan yang perlu dijaga.

"Sebab itu, kerajaan negeri melalui Tabah menyediakan skim insurans Etiqa Takaful bagi memastikan keselamatan mereka lebih terjamin.

"Antara manfaat perlindungan yang mereka peroleh jika berlaku sebarang bencana seperti kematian dan cacat kekal ialah RM10,000, khairat kematian dan bil hospital sebanyak RM1,000," katanya ketika ditemui selepas program penyerahan kad insurans Skim Pelan Etiqa Takaful Insuran Tabah kepada penghantar makanan di kediaman rasmi Menteri Besar di sini pada Isnin.

Hadir sama ialah Exco Belia dan Sukan, Datuk Mohamad Taufek Abd Ghani.

Aminuddin bagaimanapun berkata, perlindungan tersebut hanya untuk tempoh setahun sehingga Oktober 2022 dan akan dipertimbangkan pada masa akan datang.

Beliau berharap bantuan tersebut dapat meringankan beban keluarga atau mereka yang terlibat dengan kemalangan.

Artikel Berkaitan: