X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 17 Oktober 2021

70 PKS, IPT seluruh Asean sertai SICA 2021/22

Para peserta dari seluruh negara di bawah Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) menyertai Swiss Innovation Challenge ASEAN (SICA) 2021/22. FOTO UMK
A
A

KOTA BHARU - Sejumlah 70 kumpulan yang terdiri daripada usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) serta penuntut institusi pengajian tinggi (IPT) dari seluruh negara di bawah Pertubuhan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) menyertai Swiss Innovation Challenge ASEAN (SICA) 2021/22.

Pertandingan bermula pada Julai lalu hingga Januari tahun depan dengan Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dipilih sebagai tuan rumah.

Pengarah Projek SICA 2021/22, Dr Yukthamarani Permarupan berkata, program yang julung kalinya diadakan di negara ini tersebut adalah pertandingan inovasi bersepadu bertujuan merealisasikan idea perniagaan inovatif dari negara-negara Asean.

Katanya, UMK melalui Fakulti Keusahawanan dan Perniagaan (FKP) menjadi rakan strategik untuk bekerjasama dengan University of Applied Sciences and Arts Northwestern Switzerland (FHNW), Universiti DRB-HICOM (DHU), Putra Business School (PBS) dan Management and Science University (MSU) serta Swiss Malaysia Chamber of Commerce (SMCC) bagi menjayakan cabaran inovasi Swiss ini.

“Swiss Innovation Challenge (SIC) diketuai oleh University of Applied Sciences and Arts Northwestern Switzerland (FHNW) turut mendapat sokongan penuh daripada kerajaan Switzerland.

“Sehingga kini, SIC dipertandingkan di serata dunia termasuk di Indonesia, Vietnam, Thailand, China dan Malaysia dan membantu usahawan baharu serta bakal usahawan dalam perniagaan berasaskan inovasi dan pembangunan komersial,” katanya.

Menurut Yukthamarani, SICA 2021/22 adalah sebuah program tahunan yang berprestij dengan objektif utama adalah untuk menggalakkan pemikiran inovatif, idea dan pembangunan produk daripada masyarakat dan pelajar.

DR YUKTHAMARANI PERMARUPAN. Foto UMK
DR YUKTHAMARANI PERMARUPAN. Foto UMK

Katanya, cabaran pertandingan ini juga dijadikan kajian potensi keusahawanan antarabangsa dan penulisan kajian kes pembangunan inovasi keusahawanan di Malaysia.

“Selain itu, pertandingan ini juga untuk mengenal pasti produk yang inovatif dan berpotensi untuk dikomersialkan sama ada di dalam atau luar negara.

“Sebanyak tiga kategori dipertandingkan pada SICA 2021/2022 iaitu Terbuka SIC, SIC Start Up dan SIC Youth yang bertujuan untuk membangunkan budaya inovasi dalam kalangan masyarakat dan pelajar di sesebuah negara,” katanya.

Sementara itu, peserta yang menyertai cabaran ini akan mendapat bimbingan oleh jurulatih profesional dan berpengalaman untuk memanfaatkan idea serta pelan cadangan perniagaan.

Menurut Dr Yukthamarani, setiap peserta juga disediakan dengan sesi latihan khas dan jurulatih profesional dari Switzerland.

“Idea inovasi dan konsep bakal menerima hadiah berupa wang tunai berjumlah RM15,000, RM8,000 dan RM6,000 mengikut kategori yang dipertandingkan.

“Juara daripada kategori Terbuka SIC berpeluang membentangkan pelan perniagaan terbaik mereka di SIC International 2022 yang akan berlangsung di Switzerland.

“Untuk mendapat maklumat lanjut dan proses pendaftaran sila lawati umk.edu.my/site/index dan tarikh tutup Program Cabaran Inovasi Swiss pada 30 Oktober ini,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!