X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Kelantan FC tidak boleh keciciran mata berdepan Selangor FC II

Rezal Zambery Yahya - Foto TRW
A
A

KELANTAN FC tidak boleh keciciran mata apabila turun menentang Selangor FC II pada perlawanan terakhir Liga Premier di Stadium Sultan Muhammad IV di sini malam Selasa, bagi memastikan slot ke saingan Piala Malaysia terjamin.

Penolong Ketua Jurulatih Kelantan FC, Rezal Zambery Yahya berkata, bagi memastikan kemenangan pada perlawanan tersebut, pasukan kini memberi tumpuan bagi memantapkan benteng pertahanan dan mempertajamkan jentera serangan.

“Di posisi serangan, kita akan cuba gandingan baharu kerana ada beberapa pemain utama masih mengalami kecederaan dan terpaksa direhatkan. Kita mahu kemenangan bagi memastikan layak dengan selesa dan tidak bergantung kepada keputusan perlawanan pasukan lain,” katanya ketika dihubungi di sini pada Isnin.

Empat pasukan daripada Liga Premier berpeluang untuk merebut tiga lagi slot ke saingan Piala Malaysia mengiringi Negeri Sembilan FC dan Sarawak United FC yang sudah pun layak ke saingan piala berprestij itu.

Selain Kelantan FC, tiga pasukan lain yang mengintai slot ke saingan Piala Malaysia ialah PDRM FC, Kelantan United dan Kuching City FC.

Melahirkan keyakinan tinggi kepada barisan pemain, Rezal Zambery mahu anak buahnya mempamerkan prestasi terbaik apabila melayan kunjung pasukan pelawat itu.

“Saya mahu pemain mengelak daripada melakukan kesilapan kerana pasukan lawan yang dibarisi pemain muda berkualiti, mampu menyekat hasrat kami untuk beraksi di Piala Malaysia,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!