PRU perlu dalam tempoh lima tahun, tak perlu diawalkan: Nazri

Mohamed Nazri - Foto fail Bernama
Mohamed Nazri - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa menetapkan Pilihan Raya Umum (PRU) hanya boleh dilakukan dalam tempoh lima tahun dan tidak dibenarkan lebih awal sebagai usaha mereformasi Parlimen.

Ahli Parlimen Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, langkah itu akan membolehkan kerajaan melakukan perancangan dalam tempoh lima tahun itu untuk membantu rakyat.

"Tapi kalau kita kata tempoh penggal Parlimen itu lima tahun tapi selepas tiga tahun kita buat PRU, ia memberi kelebihan kepada sesebuah parti yang membentuk kerajaan itu menggunakan peruntukan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk kepentingan mereka.

"Lebih daripada itu kita juga menipu rakyat sebab kita cakap kepada rakyat wakil rakyat yang dipilih dalam PRU itu akan mewakili mereka untuk tempoh lima tahun," katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih dan Titah Diraja semasa sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Justeru, Mohamed Nazri berharap perkara itu akan diberi perhatian dalam Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara kerajaan dan pembangkang.

"Untuk reformasi Parlimen,satu perkara yang perlu dibincangkan dan diluluskan bersama adalah mengenai tempoh Parlimen ditetapkan selama lima tahun.

"Lima tahun bermaksud ia kena sampai tempoh lima tahun," katanya.

Jika tempoh itu ditetapkan katanya, kerajaan boleh memberi peruntukan kepada SPR setiap tahun hingga jumlah peruntukan mencukupi.

Artikel Berkaitan:

"Kita boleh beri tiap-tiap tahun peruntukan kepada SPR untuk perbelanjaan PRU yang kita sudah tahu akan berlaku pada akhir setiap lima tahun.

"Kalau PRU diadakan mengejut, mana kita nak cari duit? Apatah lagi sekarang perbelanjaan PRU menelan belanja RM1 bilion.

"Tapi kalau kita boleh rancang, tempoh itu lima tahun dan tidak berubah maka tiap-tiap tahun misalnya kerajaan boleh beri peruntukan RM200 juta hingga cukup RM1 bilion pada akhir tempoh," katanya.