MB Inc berjaya tanam 75,000 pokok

Pegawai MB Inc membuat lawatan audit ke atas penanaman pokok yang dijalankan oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) di Daerah Manjung. (Gambar kecil: Anuar)- Foto ihsan MB Inc
Pegawai MB Inc membuat lawatan audit ke atas penanaman pokok yang dijalankan oleh Persatuan Aktivis Sahabat Alam (KUASA) di Daerah Manjung. (Gambar kecil: Anuar)- Foto ihsan MB Inc
A
A
A

IPOH - Perbadanan Menteri Besar Perak (MB Inc) mencatatkan kejayaan dengan menanam 75,000 pokok dalam tempoh 10 bulan bagi menyokong Kempen Perak Bumi Lestari.

Ketua Pegawai Eksekutif MB Inc, Anuar Zainal Abidin berkata, kempen penanaman pokok itu adalah usaha kolektif bersama 50 agensi lain dalam memelihara kelestarian alam sekitar.

Menurutnya, MB Inc diberi tanggungjawab oleh kerajaan negeri untuk menanam 45,000 pokok sebelum 31 Januari lalu.

"Kita menerima sokongan daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan negeri, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat serta sekolah dalam melaksanakan kempen ini.

"Kesemua mempunyai matlamat sama iaitu mahu memelihara dan memulihara alam sekitar. Justeru daripada 45,000 pokok yang ditetapkan kita berjaya menanam 75,000 pokok, 67 peratus melebihi sasaran awal yang diberikan," katanya dalam sidang akhbar di Bangunan Perak Techno Trade Centre (PTTC) di sini pada Isnin.

Anuar berkata, pihaknya kini memfokuskan tiga faktor utama kelestarian alam sekitar iaitu air, tumbuhan dan haiwan menerusi program Kekal Hijau.

Katanya, antara pokok yang ditanam adalah pokok-pokok nadir, rehabilitasi, keselamatan dan pemuliharaan seperti Bakau, Berembang dan Ketapang.

Beliau berkata, kempen berkenaan bukan sahaja melestarikan alam sekitar tetapi akan menjana sumber pendapatan kepada perkampungan orang asli.

Artikel Berkaitan:

"Sebanyak 9,620 pokok kopi telah ditanam di Kampung Orang Asli Air Bah, Kampung Bukit Asu di Hulu Perak dan Kampung Kerawat. Kesemua penduduk telah diberikan latihan tanaman dan penjagaan pokok oleh pakar tanaman.

"Peserta orang asli juga telah diberikan penerangan mengenai faedah yang akan diperolehi. Kempen ini akan diperluaskan di kampung-kampung lain nanti," katanya.

Dalam pada itu, Anuar berkata, audit penanaman turut dilaksanakan dalam memantau pertumbuhan pokok-pokok yang ditanam di lapangan supaya berada dalam keadaan baik.