Lebih 1,200 mangsa skim pelaburan melalui WhatsApp

Hishamuddin (dua dari kanan) bersama Yusuf (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin.
Hishamuddin (dua dari kanan) bersama Yusuf (dua dari kiri) ketika sidang akhbar selepas membuat laporan di IPD Dang Wangi, Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lebih 1,200 individu dilaporkan menjadi mangsa penipuan sindiket pelaburan saham wang menerusi grup WhatsApp melibatkan kerugian jutaan ringgit.

Sindiket berkenaan dikatakan menjanjikan pulangan modal yang tinggi terhadap mangsa.

Pengerusi Biro Undang-Undang Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, pihaknya menerima aduan daripada mangsa yang terperangkap dengan sindiket terbabit.

Menurutnya, mangsa pada awalnya dihubungi oleh seorang ejen sindiket melalui Facebook yang menawarkan skim pelaburan berkenaan, sekali gus menjanjikan pulangan modal yang tinggi.

"Mangsa kemudian mengajak beberapa kenalan dan ahli keluarga untuk turut serta dalam skim pelaburan tersebut selepas berjaya mendapat pulangan modal yang dijanjikan.

"Malangnya, selepas mereka melabur dengan satu jumlah yang besar, pulangan modal yang dijanjikan tidak lagi diterima selain ejen berkenaan menghilangkan diri," katanya selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis (IPD) Dang Wangi di sini pada Isnin.

Beliau berkata, modus operandi sindiket berkenaan ialah menawarkan mangsa dengan skim serendah RM160 untuk satu lot sebagai permulaan.

"Mangsa ditawarkan pulangan modal sebanyak RM448 bagi satu lot dan beberapa pakej lain sehingga mencecah puluhan ribu ringgit.

Artikel Berkaitan:

"Sindiket juga menggunakan ejen berperwatakan menarik yang mana antara mereka adalah influencer di media sosial," katanya.

Menurutnya, skim pelaburan berkenaan didalangi seorang pengarah di sebuah syarikat yang kini sudah menghilangkan diri.

"Mangsa-mangsa juga telah mencuba mencari dalang berkenaan termasuk ke rumahnya tetapi gagal," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengguna Semboyan Malaysia (PPSM), Yusuf Azmi berkata, kes berkenaan mendapat perhatian pihaknya kerana melibatkan jumlah mangsa yang ramai.

"Dengan pendedahan kes ini, kami berharap ia dapat memberi kesedaran kepada masyarakat supaya tidak mudah terlibat dengan skim pelaburan cepat kaya seperti ini yang mana hanya dikelolakan menerusi WhatsApp," katanya.

Jelas beliau, PPSM menganggap kes tersebut sebagai satu kezaliman kepada mangsa-mangsa apabila menggunakan wang simpanan hasil keringat mereka untuk melabur.

"Malangnya, individu-individu yang tidak bertanggungjawab ini mengambil kesempatan, lebih-lebih lagi di masa pandemik ketika ini," katanya.