Jumlah mangsa banjir di Kampung Rantau Panjang terus meningkat

Rumah penduduk dinaiki air di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya pada Isnin.
Rumah penduduk dinaiki air di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya pada Isnin.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Jumlah mangsa banjir di Kampung Rantau Panjang, Bestari Jaya di sini terus meningkat kepada 90 mangsa berbanding 50 mangsa pada pagi Isnin.

Seketariat Pengurusan Bencana Daerah Kuala Selangor, Leftenan (PA) Maizura Suradi berkata, jumlah mangsa banjir itu diperoleh setakat jam 3 petang Isnin.

Menurutnya, jumlah keluarga juga meningkat daripada 17 keluarga kepada 27 keluarga yang dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang.

"Penambahan mangsa dipindahkan ke PPS itu disebabkan ada beberapa kawasan terdapat limpahan air.

"Ada juga sebelum ini mangsa enggan berpindah kerana berharap air akan surut tetapi setakat ini berlaku peningkatan air dan masih berbahaya untuk diduduki," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Maizura berkata, pecahan jantina mangsa banjir pula terdiri daripada seramai 49 lelaki dan 41 wanita.

"Daripada jumlah itu, seramai 26 mangsa terdiri daripada dewasa lelaki dan wanita, kanak-kanak (25), warga emas (11) dan masing-masing satu mangsa terdiri daripada bayi, orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung," katanya.

Jelas kenyataan itu, PPS itu sehingga kini masih aktif berikutan hujan berterusan pada Ahad.

Artikel Berkaitan:

"Operasi pemindahan disertai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat," kata Maizura.