Tubuhkan segera Majlis Tindakan Pendidikan: Maszlee

Maszlee Malik
Maszlee Malik
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik mencadangkan agar kerajaan menubuhkan segera Majlis Tindakan Pendidikan untuk merangka pelan pendidikan pasca Covid-19 selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong.

Bekas Menteri Pendidikan itu berkata, majlis berkenaan hendaklah dianggotai oleh mereka yang mempunyai pengalaman dan kepakaran dalam bidang pendidikan, teknologi dan ekonomi.

"Ini juga selaras dengan titah Tuanku agar (penubuhan majlis itu) merentasi politik, ideologi dan kepakaran.

"Penggunaan kepandaian buatan (AI) dan data raya juga perlu dimaksimumkan untuk membantu menangani kemelut ini," katanya ketika membahaskan usul menjunjung kasih dan titah diraja semasa sidang Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Menurut Maszlee, setakat ini pelan besar pendidikan sama ada pemulihan atau pelan jangka panjang pasca wabak masih lagi sepi dan tidak kelihatan.

Berikutan itu, beliau telah membuat satu kertas cadangan polisi untuk pihak kerajaan menyediakan satu tapak pelan pemulihan pendidikan dari peringkat prasekolah hingga ke universiti termasuk menyentuh mengenai pendidikan teknikal dan latihan vokasional (TVET).

Menurutnya, ia termasuk cadangan penubuhan Majlis Tindakan Pendidikan berkenaan.

"Titah Yang di-Pertuan Agong berhubung pendidikan agar kerajaan bersikap insklusif merentas politik ideologi dan juga kepakaran demi memulihkan sektor pendidikan wajib dijunjung oleh kerajaan terutama Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT).

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua menteri dalam KPM dan KPT telah saya berikan cadangan ini. Kita berharap bertitik tolak daripada cadangan alternatif ini, mereka boleh mengemukakan satu pelan yang lebih komprehensif kerana mereka mempunyai sumber saran dan tenaga yang lebih," ujarnya.

Menyentuh mengenai usaha untuk memastikan kecemerlangan dan kewibawaan pengajian tinggi pula, Maszlee berkata, pengajian tinggi Malaysia perlu diuruskan oleh ahli akademik dan profesional tanpa campur tangan agenda politik dan ahli politik mana-mana pihak.

Beliau berkata, ia boleh dicapai menerusi penubuhan semula Majlis Pendidikan Tinggi Negara yang termaktub dalam Akta Majlis Pendidikan Tinggi Negara 1996 atau Akta 546 yang harus disegerakan.

"Kita telah memulakan usaha ini pada tahun 2019, namun apabila bertukarnya kerajaan, usaha tersebut nampaknya terbantut.

"Keanggotaan lembaga pengurusan universiti juga hendaklah bebas daripada lantikan politik," katanya.