3,150 penghuni penjara di Terengganu divaksin

Dr Kasemani (kiri) menyuntik vaksin Covid-19 kepada seorang penghuni Penjara Marang di Marang pada Isnin.
Dr Kasemani (kiri) menyuntik vaksin Covid-19 kepada seorang penghuni Penjara Marang di Marang pada Isnin.
A
A
A

MARANG - Walau hidup terasing di sebalik tembok penjara, seramai 3,150 penghuni penjara di Terengganu tidak terkecuali daripada menerima suntikan vaksin Covid-19.

Jumlah itu melibatkan 2,600 penghuni Penjara Marang dan 550 penghuni Pusat Koreksional Dungun di Bukit Besi.

Semua mereka menerima vaksin Covid-19 jenis CanSino dengan pemberian suntikan di Penjara Marang dilakukan selama tiga hari bermula Isnin.

Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, semua banduan diberikan vaksin secara berperingkat selepas menepati syarat ditetapkan.

"Penjara Marang mempunyai 2,600 penghuni dan daripada jumlah itu, 300 orang dikecualikan buat sementara waktu kerana beberapa faktor, termasuk masalah kesihatan dan sedang dikuarantin.

"Bagi Pusat Koreksional Dungun pula, suntikan juga dilakukan hari ini (Isnin)," katanya ketika ditemui ketika program pemberian vaksin kepada 1,000 penghuni di Penjara Marang, di sini pada Isnin.

Hadir sama Pengarah Penjara Marang, Penolong Kanan Komisioner Nik Robidin Ab Rahman dan Pegawai Daerah Marang, Lizan Che Mat.

Menurut Dr Kasemani, pemberian suntikan vaksin kepada penghuni penjara merupakan usaha bagi mengelak penularan jangkitan Covid-19 sekali gus mencapai imuniti kelompok di sana.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, sebelum ini, sebanyak 364 kes positif Covid-19 dikesan di Penjara Marang sejak penularan wabak tersebut di Terengganu.

"Jangkitan ini berpunca daripada pergerakan kakitangan dan penghuni sendiri walaupun sekatan dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan di penjara adalah ketat," katanya.