X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 09 Disember 2021

Lebih 70 peratus populasi di Labuan terima dos pertama

Daripada keseluruhan 103,000 penduduk Labuan, 73.63 peratus daripadanya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat Ahad manakala 69.49 peratus lengkap divaksinasi.
A
A

LABUAN - Daripada keseluruhan 103,000 penduduk Labuan, 73.63 peratus daripadanya telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin Covid-19 setakat Ahad manakala 69.49 peratus lengkap divaksinasi.

Pengerusi Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 Labuan, Rithuan Ismail berkata, jumlah yang menerima vaksin semakin meningkat dalam tempoh dua bulan lalu.

Beliau berkata, bagi individu dewasa, 100.97 peratus telah selesai menerima dos kedua.

"Lebih sedikit daripada 100 peratus adalah disebabkan tambahan jumlah pekerja yang bekerja di sektor berkaitan minyak dan gas Labuan yang menerima vaksin serta mereka yang dalam skim penempatan masyarakat pelarian.

"Kami ingin mengurangkan penularan jangkitan jadi kami mahu mereka yang bekerja di pulau ini menerima suntikan," katanya pada Isnin.

Beliau berkata, fasa satu program vaksinasi untuk pelajar sekolah yang dilancarkan baru-baru ini menyaksikan 2,469 daripada 2,593 pelajar layak menerima suntikan pertama.

"Bagi mencapai imuni kelompok terhadap Covid-19, kita mesti memastikan semua kanak-kanak berumur 12 tahun ke atas diberi vaksin," katanya.

Rithuan, yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Labuan berkata, pulau bebas cukai itu bersedia melaksanakan program vaksinasi fasa dua yang melibatkan 8,225 kanak-kanak berusia 12 hingga15 tahun, menunggu kelulusan Kementerian Kesihatan (KKM).

"Kami mendapat maklum balas positif daripada ibu bapa yang mahu anak-anak mereka diberi vaksin untuk mencapai imuniti kelompok dalam keluarga mereka," katanya.

Rithuan berkata, wilayah persekutuan itu juga mempunyai stok vaksin yang mencukupi untuk melaksanakan vaksinasi ke atas kanak-kanak.

"Setelah menyelesaikan vaksinasi kepada kanak-kanak yang bersekolah, kami akan menumpukan perhatian pada kanak-kanak yang tidak bersekolah," katanya.

Labuan telah memasuki Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara dengan kadar penularan jangkitan yang terkawal. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!