Rentas negeri tidak termasuk dalam pengurangan SOP

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kebenaran merentas negeri tidak termasuk dalam senarai pengurangan prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN), kata Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Hishammuddin berkata, keputusan berkaitan kebenaran merentas negeri perlu diteliti oleh Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik yang dipengerusikan Perdana Menteri,Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

“Rentas negeri ada kaitan dengan fasa-fasa dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri-negeri yang berkenaan.

“Tapi syor datang daripada menteri bertanggungjawab untuk sektor tertentu dan kemudian dipertimbangkan di pelbagai peringkat termasuk Jawatankuasa Teknikal Pengurusan Pandemik, serta dalam Mesyuarat Menteri Kuartet Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas meninjau Program Vaksinasi ‘Back To School’ di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Desa Tun Hussein Onn di sini pada Isnin yang dihadiri Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin.

Pada 14 September lalu, Hishammuddin mengumumkan kerajaan kini di peringkat akhir untuk mengurangkan SOP PPN hanya kepada 10 SOP berbanding 181 sekarang, bagi memudahkan orang ramai untuk memahaminya.

Dalam pada itu, Hishammuddin berkata, Mesyuarat Kedua Menteri Kuartet Covid-19 yang melibatkan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar; Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz selain beliau sendiri, akan diadakan pada Selasa.

“Mesyuarat akan memberi fokus terhadap usaha mempermudahkan 181 SOP kepada 10 SOP, selain memberi tumpuan terhadap naratif menjelang fasa endemik yang bermula hujung Oktober ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, mesyuarat pada Selasa juga turut menjemput Menteri Pelancongan, Datuk Seri Nancy Shukri bagi memberi taklimat mengenai status terkini projek perintis gelembung pelancongan Langkawi dan potensi gelembung pelancongan yang lain.

Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu juga akan hadir pada mesyuarat terbabit bagi menerangkan tentang potensi kelonggaran-kelonggaran lain dalam sektor sukan.

Hishammuddin berkata, pada minggu hadapan Dr Mohd Radzi pula dijadual memberi taklimat kepada Menteri Kuartet mengenai vaksinasi dalam kalangan pelajar serta perkembangan terkini menjelang pembukaan sekolah secara berperingkat mulai 3 Oktober depan. - Bernama