X

Kindly register in order to view this article
!

Anwar punca Bersatu kalah di Semenyih: Khalil

A
A

SHAH ALAM - Pas mendakwa Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi punca utama kekalahan calon Bersatu dalam PRK DUN Semenyih.

Ketua Pemudanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi mendakwa sokongan parti itu terhadap Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menyebabkan Anwar kepanasan.

Katanya, ia ditambah dengan pendedahan berkaitan gerakan di sebalik tabir untuk mengenepikan Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri.

"Ia membuatkan Anwar tidak senang duduk dan menyerang Pas bertubi-tubi. Pelik, mengapa beliau menyerang Pas sedangkan yang bertanding di PRK Semenyih ialah UMNO, Bersatu dan PSM.

"Adakah dengan menyerang Pas pengundi Melayu akan menyokong PH dan adakah dengan menyerang Pas peluang UMNO untuk menang dalam PRK Semenyih tipis?" soal beliau kepada Anwar menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar dalam kempen PRK Semenyih mendedahkan Pas membayar RM1.4 juta kepada Editor Sarawak Report, Clare Rewcastle Brown membabitkan kes penyelesaian luar mahkamah antara beliau dengan Abdul Hadi.

Clare selepas itu menerusi satu artikel mengesahkan menerima bayaran berjumlah RM1.4 juta sebagai sebahagian daripada persetujuan untuk menyelesaikan saman Abdul Hadi di luar mahkamah.

Jelasnya, ia bukan sebahagian daripada perintah mahkamah kerana hakim tidak mengarahkan presiden Pas itu membayar kos yang sudah dibuat kepada Americk selaku pihak ketiga mewakili portal itu.

Mengulas lanjut, Muhammad Khalil berkata, serangan Anwar terhadap Pas membuatkan orang Melayu semakin benci dan menolak PH secara terang di Semenyih.

"Ya, BN menang dan PH kalah di PRK Semenyih dan keputusan PRK Semenyih ialah manifestasi penolakan orang Melayu terhadap PH dan punca utama kekalahan ialah Anwar Ibrahim.

"Fitnah RM1.4 juta ternyata umpama memakan diri yang mana ia sememangnya tidak benar serta menjejaskan peluang Bersatu," katanya.

Dalam PRK tersebut, BN merampas kembali kerusi DUN Semenyih apabila Zakaria Hanafi menang dengan meraih 19,780 undi, menewaskan tiga lagi pencabarnya.

Beliau menewaskan calon PH Mohammad Aiman Zainali yang memperoleh 17,866 undi, manakala calon PSM, Nik Aziz Afiq Abdul 847 undi dan calon Bebas, Kuan Chee Heng memperoleh 725 undi.

Muhammad Khalil turut mempersoal adakah tindakan Anwar mensabotaj Bersatu di Semenyih.

"Adakah menyerang Pas itu sebenarnya kaedah supaya Bersatu tidak menang di PRK Semenyih?

"Jika dilihat pada keadaan sekarang, jawapannya jelas di depan mata," katanya.

Tambahnya lagi, DAP tidak bermaya dalam PRK Semenyih seperti tidak bersungguh membantu Bersatu.

"Cabaran Pas pada DAP untuk menyatakan sokongan terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sehingga hari ini tidak dilakukan.

"Tidak seperti PKR yang akhirnya menyatakan sokongan terhadap Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri setelah diasak, DAP sehingga hari ini melalui CEC langsung tidak berbuat demikian. Tidakkah pelik sikap mereka ini atau sebenarnya ada sesuatu yang berlaku?" soalnya lagi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus