Keputusan rayuan bekas Exco Johor ditetapkan 7 November

Abd Latif tiba di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Isnin.
Abd Latif tiba di Mahkamah Tinggi Johor Bahru pada Isnin.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Mahkamah Tinggi pada Isnin menetapkan 7 November depan bagi keputusan terhadap bekas Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Abd Latif Bandi sama ada perlu membela diri terhadap 37 pertuduhan rasuah atau dilepas serta dibebaskan daripada tuduhan itu.

Hakim Datuk Abu Bakar Katar membuat keputusan itu setelah selesai mendengar hujah barisan pendakwaan dan pembelaan dalam prosiding rayuan kes itu yang berlangsung selama dua hari.

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Sesyen pada 21 April 2019 yang melepas dan membebaskan bekas Abd Latif yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau daripada 37 pertuduhan rasuah serta kes pencegahan pengubahan wang haram, pencegahan pembiayaan keganasan dan hasil daripada aktiviti haram (AMLA) berjumlah lebih RM30 juta, lima tahun lalu.

Selain itu, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim dan perunding hartanah, Amir Shariffuddin Abd Raub turut dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan berkenaan dalam prosiding dua tahun lalu.

Kes rayuan berkenaan dikendalikan Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan SPRM, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Gharib serta dibantu Mahadi Abdul Jumaat, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Zender Lim Wai Keong.

Abd Latif, anak lelakinya, Ahmad Fauzan Hatim, dan Amir Shariffuddin diwakili peguam, Datuk Hasnal Redzua Merican, Datuk Sallehudin Saidin.

Sebelum itu, Wan Shaharuddin dalam hujahannya berkata, hakim bicara terkhilaf dalam pemahaman undang-undang ketika membuat keputusan melepas dan membebaskan Abd Latif yang juga responden kedua dan dua lagi responden dua tahun lalu.

Pada 14 Jun 2017, Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing menghadapi empat pertuduhan membabitkan aktiviti pengubahan wang haram.

Artikel Berkaitan:

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLA) 2001.

Abd Latif, Ahmad Fauzan Hatim dan Amir Shariffuddin masing-masing turut menghadapi 33 pertuduhan berasingan membabitkan rasuah bernilai RM30.3 juta mengikut Seksyen 28 (1) (C) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.