X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Pelantikan PM baharu tidak ikut lunas demokrasi: Tun M

Dr Mahathir Mohamad
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika membahaskan usul menjunjung kasih dan titah diraja di sidang Dewan Rakyat pada Isnin menyentuh kerajaan baharu pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ahli Parlimen Langkawi itu berkata, pelantikan Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri tidak mengikut lunas-lunas demokrasi walaupun ia tidak melanggar undang-undang.

"Apa yang telah berlaku ialah orang yang telah ditolak oleh rakyat sekarang ini menjadi kerajaan, orang yang dipilih oleh rakyat sekarang ini menjadi pembangkang.

"Ini menidakkan amalan demokrasi iaitu sepatutnya rakyat yang akan memilih kerajaan dan bukan cara lain digunakan untuk menidakkan hak rakyat," katanya ketika membahaskan usul tersebut.

Berikutan itu, Dr Mahathir berharap cara berkenaan tidak diamalkan pada masa-masa hadapan.

Untuk memastikan kejadian tersebut tidak berulang, katanya, kerajaan perlu mewujudkan undang-undang yang melarang ahli Parlimen melompat parti.

"Namun demikian, ia tidak semudah itu. Tidak dengan hanya mengharamkan perbuatan lompat melompat parti kerana adakalanya apabila diadakan pilihan raya, tidak ada satu pun parti yang memperoleh cukup bilangan untuk mendirikan kerajaan.

"Dalam keadaan sebegitu, ada keperluan untuk sesetengah parti berganding bersama parti yang mendapat jumlah terbesar supaya bilangan wakil rakyat dalam kerajaan melebihi separuh daripada bilangan kerusi dalam Dewan Rakyat," jelas beliau.

Dr Mahathir bagaimanapun berkata, perbuatan cantuman antara parti lain dengan parti terbesar tidaklah sesuatu yang boleh ditafsirkan sebagai melompat sekiranya dilakukan dengan cara tersusun mengikut peraturan perlembagaan parti-parti berkenaan.

Menurutnya, peraturan perlembagaan itu termasuklah keputusan untuk bergabung hendaklah dibuat ketika mesyuarat parti bahawa mereka akan bersama parti yang telah mendapat bilangan terbesar untuk mencukupkan jumlah supaya boleh mendirikan kerajaan.

"Sebab itu kita tidak boleh semata-mata mengharamkan lompat melompat tetapi sebaliknya menjelaskan waktu mana kita mentafsirkan sesuatu itu sebagai melompat dan tidak dengan sewenang-wenangnya menuduh bahawa lompat parti telah dilakukan.

"Kita juga mendapati ada parti yang memecat ahli-ahlinya kerana sebab-sebab tertentu tetapi ini bukanlah disebabkan perbuatan melompat daripada satu parti ke parti lain," katanya.

Susulan itu, beliau berkata, tindakan lompat parti tersebut perlu dikaji secara mendalam.

"Ia bagi membolehkan Dewan Rakyat dapat bersidang dengan lancar tanpa gangguan oleh mana-mana ahli Dewan Rakyat yang melompat parti seperti yang berlaku dalam kemelut politik sebelum ini," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!