X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Dakwa masjid amal 'kluster kayangan', lelaki tampil mohon maaf

Lelaki terbabit (depan dari kanan) memohon maaf kepada petugas SOP masjid, Adzmi Mahamud, 66, (depan dari kiri ) pada sidang akhbar di Seremban pada Isnin, Turut kelihatan, Zulkifli (dua dari kanan).
A
A

SEREMBAN - Seorang lelaki membuat permohonan maaf secara terbuka kepada pihak Masjid Arraudah Kariah Taman Rasa Sayang di sini berhubung penyebaran video menerusi Tik Tok yang mendakwa masjid itu mengutamakan 'kluster kayangan'.

Permohonan maaf dibuat lelaki berusia 59 tahun itu pada sidang akhbar yang dianjurkan pihak masjid terbabit pada Isnin.

Lelaki yang namanya enggan dikenali itu turut menggesa semua pihak agar menghentikan penyebaran video tersebut serta memadamkannya.

"Pihak masjid telah menjelaskan kepada saya bahawa prosedur operasi standard (SOP) ini bukan sengaja dibuat, tapi atas arahan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

"Saya meminta kepada mereka yang berkongsi video tersebut supaya menghentikannya. Saya juga sudah mengarahkan seorang dua yang saya tahu dalam video tersebut untuk memadamkannya.

"Seperti mana yang dinyatakan, ini adalah permohonan maaf secara terbuka kepada pegawai masjid, pengurus, ahli jawatankuasa dan kariah. Kes ini seperti yang diterangkan oleh pengerusi, ia adalah salah faham," katanya pada sidang akhbar di pekarangan masjid berkenaan pada Isnin.

Menerusi video berdurasi 47 saat yang dimuat naik pada Jumaat lepas, lelaki terbabit mempersoalkan seorang ahli jawatankuasa masjid dibenarkan masuk, sedangkan jemaah lain tidak dibenarkan dengan alasan kuota sudah penuh.

Video yang tular menerusi aplikasi TikTok pada Jumaat.
Video yang tular menerusi aplikasi TikTok pada Jumaat.

Dalam video itu, lelaki tersebut turut mendakwa masjid terbabit mengutamakan 'kluster kayangan' seperti yang diamalkan sebuah masjid di Putrajaya, selain turut mengugut mahu menyebarkannya.

Malah dalam video tersebut, lelaki berkenaan turut memarahi ahli jawatankuasa masjid yang memanggilnya 'Encik', sebaliknya meminta dipanggil 'Sir'.

Sementara itu Ketua Pentadbir Masjid Arraudah Kariah Taman Rasa Sayang, Zulkifli Muhamed berkata, penyebaran video tersebut telah memberi persepsi negatif kepada pihak masjid selain menimbulkan kegusaran kepada ahli jawatankuasa untuk menjalankan tugas.

"Dakwaan lelaki itu adalah berunsur fitnah kerana kami tidak mengamalkan konsep kuota 10 peratus VIP dibenarkan masuk. Malah, rakaman itu juga berunsur ugutan kerana perakam mengatakan akan menularkan video tersebut.

"Kami mengikut SOP yang ditetapkan JHEAINS iaitu hanya 150 jemaah terawal dibenarkan masuk ke dalam masjid bagi menunaikan solat Jumaat, yang mana 17 kuota untuk ahli jawatankuasa terdiri dari pegawai masjid, bahagian pentadbiran dan petugas SOP," jelas beliau.

Mengulas mengenai ahli jawatankuasa yang datang lewat tetapi dibenarkan masuk, Zulkifli berkata, lelaki berjubah biru di dalam rakaman video tersebut ialah Penyelaras SOP yang mempunyai akses keluar dan masuk masjid.

Beliau sehubungan itu berkata, satu laporan polis dibuat pada 18 September lalu di Balai Polis Senawang sebelum dirujuk ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seremban untuk berjumpa dengan perakam video.

"Dalam pertemuan itu, lelaki berkenaan sememangnya telah memohon maaf atas tindakannya.

"Tapi atas dasar tanggungjawab kepada institusi masjid, kami mahu permohonan maaf secara terbuka dan mengharapkan ia dapat dijadikan pengajaran kepada semua pihak," ujar beliau.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!