X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 25 Oktober 2021

Rasuah: Penolong pegawai perubatan dipenjara, denda

Mohd Zamry (tengah) hadir ke Mahkamah Sesyen di Melaka pada Isnin atas tuduhan menerima suapan.
A
A

MELAKA - Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda RM17,500 terhadap seorang penolong pegawai perubatan kerana menggunakan jawatan bagi mendapatkan suapan menerusi syarikat adiknya.

Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman tersebut terhadap Mohd Zamry Yazid, 46, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Berdasarkan pertuduhan, Mohd Zamry yang bertugas sebagai penolong pegawai perubatan di Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Jasin didapati telah menggunakan kedudukan dan jawatan bagi mendapatkan suapan.

Tertuduh terlibat dalam permohonan pembekalan, penyediaan sebut harga dan memperakukan tuntutan bayaran kepada syarikat milik adiknya, Pella Maju Enterprise bagi pembelian barang perubatan berupa kertas ultrabunyi untuk klinik-klinik kesihatan bernilai RM3,500.

Dia dituduh melakukan kesalahan itu di PKD Jasin pada 18 Oktober 2018 mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana lebih tinggi.

Sementara itu, peguam Mohd Zulfiqri Zakaria memohon supaya hukuman anak guamnya diringankan dengan alasan tertuduh menjaga ibu yang lumpuh dan seorang adik perempuan orang kurang upaya (OKU) yang terlantar sakit.

Tertuduh yang berkhidmat selama 23 tahun juga pernah memenangi anugerah cemerlang sebanyak dua kali selain telah insaf dengan perbuatannya itu.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Irwanshah Abdul Samat yang mengendalikan pendakwaan memohon hukuman berat dikenakan sebagai pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman penjara dua bulan dan denda sebanyak RM17,500.

Tertuduh juga dikenakan hukuman tambahan enam bulan penjara sekiranya gagal membayar denda berkenaan.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!