'Kerajaan perlu henti budaya lantik penasihat, ahli keluarga'

Akif Rusli
Akif Rusli
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu menghentikan budaya pelantikan penasihat yang tidak memainkan peranan penting dengan memanfaatkan Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dalam setiap kementerian bagi hal yang berkaitan dasar.

Ketua Penerangan Pejuang Muda Malaysia Parti Pejuang TanahAir (Pejuang), Akif Rusli yang berkongsi perkara itu melalui Facebooknya berkata, peluang kepada PTD dapat memberikan latihan mantap dan memperluaskan pengalaman penjawat awam dalam pentadbiran kerajaan.

Tambah beliau, sekiranya anggota pentadbiran kerajaan dikurangkan, kebajikan rakyat dijaga dan perbelanjaan sumber kewangan negara dapat difokuskan bagi tujuan menghadapi Covid-19.

“Pejuang Muda menolak menolak budaya lantikan ahli keluarga politik sebagai pemegang jawatan berkepentingan seperti bagi jawatan Pengerusi Nafas yang merupakan abang kepada Perdana Menteri dan lantikan baharu Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli yang merupakan adik kepada Ahli Parlimen Cameron Highlands.

“Lantikan sebegini tidak langsung mempamerkan konsep Keluarga Malaysia, bahkan lebih kepada sentimen Keluarga Sendiri.

“Rakyat perlu menghentikan sifat ketamakan ahli politik sebegini demi kepentingan bangsa dan Tanah Air,” katanya menerusi hantaran di media sosial itu pada Isnin.

Dalam pada itu, Akif turut membangkitkan beberapa persoalan keperluan penasihat-penasihat khas dan tiga duta bertaraf menteri yang hanya sekadar untuk memberikan ruang budaya politik penawaran jawatan dan kedudukan kembali berleluasa.

“Adakah kedudukan ini mempunyai imbuhan tertentu yang akan dibelanjakan menggunakan dana negara? Adakah Jemaah Menteri selepas daripada ini akan memerlukan lebih ramai penasihat? Adakah penjawat awam sedia ada tidak layak untuk menasihati Menteri kerajaan yang dipimpin oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ini?

Artikel Berkaitan:

“Apakah akan wujud akses terhadap projek-projek yang melibatkan kesihatan awam dan infrastruktur yang akan dibahagi dalam kelompok kleptokrat?

“Ini adalah persoalan yang perlu dijawab oleh pentadbiran kini. Apa yang jelas adalah ‘Kabinet Menteri Gergasi’ terdahulu dan kini tiada bezanya dari segi keberkesanan kos,” ujarnya.

Jelas beliau, itulah hasil jasa dan pengorbanan pentadbiran Perikatan Nasional yang kononnya menolak kelompok kleptokrat yang pada hakikatnya telah mengembalikan mereka semula untuk duduk di tampuk pimpinan.