Pengambilan secara 'one-off' selesaikan masalah kekurangan guru

KPM yakin pengambilan 18,000 guru secara 'one-off' akan menyelesaikan masalah kekurangan guru yang telah berlanjutan selama bertahun-tahun. - Gambar hiasan
KPM yakin pengambilan 18,000 guru secara 'one-off' akan menyelesaikan masalah kekurangan guru yang telah berlanjutan selama bertahun-tahun. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yakin pengambilan 18,000 guru secara 'one-off' akan menyelesaikan masalah kekurangan guru yang telah berlanjutan selama bertahun-tahun.

Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin berkata, pengambilan itu juga akan mengisi kekosongan terkini guru di sekolah KPM.

"Berdasarkan data sehingga 19 September 2021, terdapat 21,564 kekosongan guru di sekolah KPM di seluruh negara.

"Dengan mengambil kira pengambilan guru secara 'one-off' tersebut, bagi kekosongan 2,862 lagi akan diisi melalui proses lantikan biasa secara berterusan oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Pengurusan (SPP)," katanya ketika sesi pertanyaan menteri bagi jawab lisan di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Sabri Azit (Pas-Jerai) yang meminta beliau memaklumkan kriteria utama pemilihan 18,000 guru dan keperluan sebenar kekosongan guru di seluruh negara.

Mohd Radzi berkata, urusan pengambilan guru atau Pegawai Perkhidmatan Pendidikan (PPP) Gred DG41 secara one-off bagi 2021 adalah di bawah bidang kuasa SPP selaku pihak berkuasa melantik.

Dari segi kriteria pemilihan beliau menjelaskan, keutamaan akan diberikan kepada graduan yang memiliki kelayakan ikhtisas pendidikan daripada universiti awam, universiti swasta dan universiti luar negara untuk dilantik secara tetap.

"Selain itu, calon juga perlu memenuhi syarat skim perkhidmatan, memenuhi padanan kluster mata pelajaran dan berjaya dalam temuduga SPP.

Artikel Berkaitan:

"Temuduga tersebut menilai kompetensi umum seperti sikap, penampilan diri, pengetahuan am dan kompetensi 'functional' seperti kandungan mata pelajaran dan pedagogi," katanya.

Menurut beliau, sekiranya bilangan calon yang berjaya dilantik dalam kalangan graduan yang mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan masih belum mencukupi, maka SPP akan melaksanakan kaedah lantikan secara 'contract of service' dalam kalangan calon yang tidak mempunyai kelayakan ikhtisas pendidikan.