4,422 murid hilang ibu bapa akibat Covid-19

Rina
Rina
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat dimaklumkan seramai 4,422 murid sekolah yang mendaftar dengan Kementerian Pendidikan kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat Covid-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, daripada jumlah itu seramai 154 orang menjadi yatim piatu kerana kehilangan kedua-dua ibu bapa.

Menurutnya, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah mengambil inisiatif memberi sokongan dalam bentuk pemberian bantuan kewangan bagi menampung keperluan hidup kanak-kanak terbabit dan anggota keluarga.

"Jenis bantuan yang diberikan adalah tabung bantuan segera dan bantuan kanak-kanak.

"Kerajaan semasa pengumuman Belanjawan 2021 bersetuju menaikkan kadar bantuan bulanan di bawah skim bantuan kanak-kanak dan bantuan pesakit terlantar kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

"Bagi kanak-kanak yang berusia bawah tujuh tahun layak menerima sebanyak RM200 seorang manakala yang berusia tujuh tahun ke atas akan memperoleh bantuan sebanyak RM150 bagi seorang," katanya pada sesi pertanyaan menteri bagi jawapan lisan di sidang Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Hannah Yeoh Tseow Suan (PH-Segambut) yang meminta beliau mendedahkan statistik jumlah kanak-kanak yang telah menjadi anak yatim akibat Covid-19 dan langkah kementerian dalam penjagaan dan kebajikan kanak-kanak ini mengikut pecahan mereka yang kehilangan ibu dan ayah, kehilangan kedua-duanya atau kehilangan penjaga.

Memperincikan mengenai bantuan itu, Rina memberitahu, untuk pertama kali juga menerusi Belanjawan 2021 itu, kadar bantuan maksimum kanak-kanak dinaikkan daripada RM450 sekeluarga kepada RM1,000 sekeluarga.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, beliau menjelaskan, perkhidmatan kaunseling kepada kanak-kanak yang menghadapi tekanan emosi akibat kehilangan ibu bapa atau penjaga turut diberikan.

"Bantuan kaunseling turut diberikan kepada anggota keluarga kanak-kanak sekiranya mereka memerlukan perkhidmatan tersebut.

"Antara perkhidmatan kaunseling yang disediakan ialah yang pertama intervensi psikologi dan kaunseling seperti kaunseling individu, kaunseling kelompok dan juga terapi psikologi.

"Yang kedua intervensi krisis dan sokongan psikologi. Intervensi ini termasuk sokongan pengurusan tekanan dan juga trauma," katanya.

Menurutnya, perkhidmatan kaunseling yang ketiga pula melibatkan psiko-pendidikan, program psiko-spritual serta 'art therapy'.

Dalam pada itu, Rina menjelaskan, kanak-kanak juga boleh ditempatkan di institusi JKM sekiranya mereka tidak mempunyai waris atau saudara-mara yang boleh menjaga mereka berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.

Ujar beliau, kanak-kanak akan diambil perintah sementara melalui mahkamah dan diletakkan di bawah perintah sementara sama ada kepada keluarga ganti, orang yang layak dan sesuai atau institusi tempat selamat.

Katanya, sebanyak tujuh institusi JKM telah ditetapkan mengikut zon untuk jagaan dan pelindungan kanak-kanak yang kehilangan ibu bapa akibat Covid-19.