Warga emas caj RM20 urus vaksinasi Covid-19 ditahan

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SEMPORNA - Polis menahan seorang lelaki warga emas di Taman Kanak-Kanak Pekan Semporna di sini pada Jumaat lepas setelah disyaki terlibat dengan penipuan vaksinasi Covid-19.

Ketua Polis Daerah Semporna, Superintendan Farhan Lee Abdullah berkata, suspek warga tempatan berusia 61 tahun yang tidak bekerja itu ditahan pada jam 2.35 petang.

"Suspek menawarkan perkhidmatan mengurus vaksinasi di Dewan Masyarakat Semporna dengan bayaran RM20 setiap seorang dan setakat ini dikesan terdapat 16 mangsa penipuan itu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, polis memandang serius perkara itu sama ada membabitkan individu atau sindiket yang cuba mengambil peluang menjalankan penipuan dengan menawarkan perkhidmatan vaksinasi berbayar.

"Kerajaan Malaysia memberikan vaksinasi secara percuma dan tindakan undang-undang akan diambil ke atas pihak terlibat," katanya.

Sehubungan itu, Mohd Farhan meminta 16 mangsa yang terlibat itu agar tampil ke balai polis berdekatan bagi membantu siasatan.

Menurutnya, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan individu yang mempunyai maklumat mengenai kes berkenaan diminta menghubungi pegawai penyiasat Sarjan Mohamad Hayazi Hariff Fazilah di talian 017-895 4967 atau 089-782020. - Bernama

Artikel Berkaitan: