76 kes pembalakan haram diambil tindakan setakat Ogos

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Sebanyak 76 kes pembalakan haram dan 274 kes kesalahan hutan lain di dalam negara telah diambil tindakan setakat 31 Ogos lalu.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, daripada jumlah itu sebanyak 29 kes pembalakan haram dan 207 kes kesalahan hutan lain membabitkan di Semenanjung.

Menurutnya, di Sabah pula membabitkan tiga kes pembalakan haram dan 49 kes kesalahan hutan lain manakala Sarawak pula melibatkan 44 kes pembalakan haram dan 18 kes kesalahan hutan lain yang telah diambil tindakan dalam tempoh berkenaan.

"Penjenayah yang melakukan kesalahan tersebut boleh didakwa masing-masingnya di bawah Akta Perhutanan Negara 1984 [Akta 313] di Semenanjung Malaysia, Ordinan Hutan 2015 (Bab 71) di Sarawak dan Enakmen Hutan 1968 (Sabah No. 2 of 1968) di Sabah.

"Dalam hubungan ini, Jabatan-Jabatan Perhutanan Negeri di Semenanjung, Sabah dan Sarawak sentiasa meningkatkan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan bagi membanteras aktiviti-aktiviti penerokaan dan pembalakan secara haram," katanya pada sesi pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH - Port Dickson) berhubung sejauh mana pemantauan kementerian itu terhadap aktiviti pembalakan khususnya di kawasan yang digazetkan sebagai hutan simpan dan tindakan yang telah diambil terhadap kes pelanggaran tersebut.

Mengulas lanjut, Takiyuddin berkata, kementeriannya sentiasa memandang serius isu pembalakan haram dan kesalahan hutan yang lain di dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK).

"Pengurusan hutan di Malaysia adalah berteraskan kepada prinsip Pengurusan Hutan Secara Berkekalan (Sustainable Forest Management – SFM) yang selari dengan Dasar Perhutanan Malaysia," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), aktiviti penguatkuasaan hutan juga disenaraikan sebagai salah satu 'essential services' atau perkhidmatan perlu dan dilaksanakan dengan tumpuan diberikan kepada kawasan 'hotspot' dan berisiko tinggi berlakunya kes kesalahan hutan.

"Aktiviti penguatkuasaan dijalankan dengan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) sebagaimana ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," katanya.