Sasar 80 peratus remaja lengkap dos vaksin menjelang Januari 2022

Khairy Jamaluddin
Khairy Jamaluddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mensasarkan 60 peratus remaja lingkungan 12 dan 18 tahun mendapat sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang November ini.

Selain itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, 80 peratus golongan berkenaan disasarkan untuk mendapat dos lengkap vaksin menjelang Januari 2022.

Beliau berkata, pengecualian hanya akan diberikan kepada remaja yang disahkan oleh doktor mempunyai sebab-sebab tertentu, seperti masalah kesihatan atau alahan terhadap vaksin.

“Di KKM, kita bersetuju untuk pemberian vaksin kepada remaja bukan sahaja kerana vaksin terbukti selamat, tetapi kita juga khuatir dengan peningkatan kes Covid-19 di kalangan remaja.

“Apabila sekolah dibuka, kita mahu pastikan perlindungan untuk remaja,” katanya kepada pemberita di Kick-Off Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Remaja (PICK Remaja), di SMK Putrajaya Presint 8(1) di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, Ketua Pengarah Pendidikan Datin Seri Nor Zamani Abdol Hamid, serta pegawai-pegawai kanan kedua-dua kementerian.

Media sebelum ini melaporkan, lima negeri/wilayah akan melakukan PICK Remaja secara serentak selain Putrajaya, iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Kedah, Perlis dan Pahang.

Tiga negeri/wilayah yang telah memulakan program berkenaan sebelum ini ialah Sarawak pada 8 September Labuan (11 September) dan Sabah (16 September). - Awani

Artikel Berkaitan: