250 insan buta guna bangunan serba daif

Inilah bangunan serba daif digunakan Pertis Kelantan yang terletak di atas tanah yang dipinjamkan oleh MAIK di Beris Kubur Besar.
Inilah bangunan serba daif digunakan Pertis Kelantan yang terletak di atas tanah yang dipinjamkan oleh MAIK di Beris Kubur Besar.
A
A
A

BACHOK - Sejumlah 250 ahli berdaftar terdiri daripada individu buta yang bernaung di bawah Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Kelantan terpaksa menjalankan aktiviti keagamaan di sebuah bangunan yang serba daif di Beris Kubur Besar di sini.

Keadaan itu disebabkan Pertis Kelantan tidak mempunyai dana mencukupi untuk membina bangunan lebih selesa bagi perlaksanaan aktiviti dalam kalangan ahlinya.

Pengerusi Pertis Kelantan, Mohd Nazri Nawi berkata, bangunan usang berusia 17 tahun tersebut dibina pada tahun 2004 menggunakan duit sumbangan daripada orang ramai.

Beliau yang juga orang kurang upaya (OKU) penglihatan berkata, tanah tempat bangunan itu pula milik Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) yang membenarkan lokasi itu dipinjamkan untuk dibina bangunan Pertis Kelantan.

“Kami menggunakan bangunan ini dalam keadaan yang tidak kekal dan akan berpindah pada bila-bila masa sekiranya diarahkan.

“Bangunan dua tingkat dengan setiap aras seluas seperti bilik kecil ini tidak mempunyai tandas malah tidak ada kelengkapan pejabat sebaliknya hanya ada sofa usang dan satu kipas buruk yang digantung di dinding,” katanya ketika ditemui di Pejabat Pertis di sini pada Ahad.

Pengerusi Pertis Kelantan, Mohd Nazri (kiri) duduk di kerusi di dalam bangunan pejabat yang serba daif di Beris Kubur Besar, Bachok.
Pengerusi Pertis Kelantan, Mohd Nazri (kiri) duduk di kerusi di dalam bangunan pejabat yang serba daif di Beris Kubur Besar, Bachok.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary sebelum ini mengumumkan bantuan RM10,000 kepada Pertis Kelantan untuk digunakan bagi membeli peralatan pejabat di bangunan itu.

Artikel Berkaitan:

Ujar Mohd Nazri, pihaknya pernah berpindah ke sebuah pejabat yang diwakafkan secara lisan oleh seorang individu di Kota Bharu namun terpaksa berpindah semula kerana pemasalahan teknikal.

“Jadi, kami terpaksa menggunakan bangunan ini untuk menjalankan aktiviti keagamaan seperti kelas bacaan al-Quran braille, ceramah agama, nasyid dan lain-lain dalam keadaan tidak selesa.

“Kalau cuaca panas, tingkat atas tidak boleh digunakan kerana terlalu membahang manakala tandas pula pinjam di madrasah bersebelahan,” katanya.

Katanya, sehubungan itu, Pertis Kelantan merayu sumbangan disalurkan daripada mana-mana pihak atau kerajaan bagi membantu usaha mendapatkan tempat yang lebih sesuai.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Persatuan Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Kelantan menerusi Bank Islam 03036020182557 atau hubungi Timbalan Pengerusinya, Muhamad Khairul Amilin di talian 011-10633421.