X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 23 Oktober 2021

Hadkan pengunjung pusat rekreasi

Lam Thye
A
A

SHAH ALAM - Pihak berkuasa perlu berbincang bagi menetapkan had bilangan kehadiran pengunjung di kawasan rekreasi dan riadah di seluruh negara.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, selain dapat mengurangkan risiko penularan Covid-19 di kawasan terbabit, langkah tersebut juga akan membolehkan pengunjung merancang aktiviti mereka dengan lebih baik.

Menurutnya, usaha itu perlu merangkumi peningkatan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19 oleh pihak berkuasa di kawasan tersebut.

“Setiap tempat riadah atau rekreasi mesti ada pengusaha atau pemilik, misalnya kawasan hutan dan air terjun berada di bawah pengurusan jabatan hutan.

“Kalau di pantai, ia di bawah seliaan pihak berkuasa tempatan dan ada juga tempat dijaga oleh perbadanan negeri.

“Jadi, jika kawasan yang dipantau itu kecil dan terlalu ramai pengunjung, pihak berkuasa boleh mengehadkan bilangan orang yang dibenarkan masuk.

“Mereka perlu pastikan pengunjung boleh mengamalkan penjarakan fizikal di kawasan itu.

“Tetapi kalau langkah itu dibuat, ia mesti dimaklumkan lebih awal misalnya melalui media supaya orang ramai tahu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Susulan kelonggaran SOP yang diumumkan bagi negeri-negeri yang beralih kepada fasa dua dan ke atas di bawah Pelan Pemulihan Negara (PPN), kawasan rekreasi serta riadah kembali menjadi tumpuan masyarakat Malaysia.

Kelonggaran itu bagaimanapun menyebabkan berlakunya kesesakan di beberapa kawasan tertentu.

Walaupun mengakui bahawa langkah tersebut mungkin mendapat sambutan dingin, namun Lam Thye berkata, masyarakat perlu memikirkan mengenai keselamatan dan kesihatan diri masing-masing.

“Kita semua cukup faham, itu hak mereka. Lagipun aktiviti seperti berkelah ini adalah sangat penting selepas hampir setahun setengah terkurung.

“Namun mereka juga kena pastikan kesihatan diri sendiri. Jangan disebabkan ghairah untuk beriadah, kita lupa tanggungjawab menjaga kesihatan,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau turut menasihati rakyat supaya sentiasa mengamalkan SOP yang ditetapkan ketika beriadah terutamanya mematuhi penjarakan fizikal.

Lam Thye turut mencadangkan supaya pihak berkuasa meletakkan papan tanda peringatan dan amaran berkenaan SOP Covid-19 di kawasan riadah dan rekreasi masing-masing.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!