X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 28 Oktober 2021

MFL sedia kaji kuota import

Stuart Ramalingam
A
A

LIGA Bola Sepak Malaysia (MFL) sedia meneliti cadangan berhubung polisi mengehadkan kuota pemain import yang beraksi dalam saingan Liga Malaysia (Liga-M).

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata, setiap aspek harus diambil kira sebelum sebarang keputusan dibuat berhubung pengambilan pemain import.

“Saya percaya perkara ini bukan semata-mata mengenai isu bakat (pemain) tempatan dan import. Ia melibatkan banyak aspek perkara yang perlu dilihat dengan teliti.

“Antaranya aspek pembangunan pemain muda, pemahaman mengenai evolusi bola sepak profesional dan penyertaan pasukan di peringkat antarabangsa (Liga Juara-Juara Asia dan Piala AFC).

“Kesemua ini turut melibatkan kepentingan terhadap struktur pertandingan di peringkat akar umbi dan seterusnya menyediakan platform terbaik untuk mereka terus maju ke hadapan,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Stuart berkata demikian bagi mengulas cadangan daripada jurulatih berpengalaman, Mohd Azraai Khor Abdullah agar MFL mengehadkan pengambilan pemain import dalam saingan Liga-M.

Mohd Azraai mengemukakan cadangan berkenaan bagi menyelamatkan karier penyerang tempatan daripada terus ‘tenggelam’ di sebalik sentuhan berbisa pemain import.

Untuk rekod, penyerang import dilihat terus mendominasi carta penjaring terbanyak Liga Super sejak edisi 2012 dengan penyerang Selangor FC, Ifedayo Olusegun muncul selaku penjaring terbanyak bagi musim 2020 dan 2021.

Sebelum ini, setiap pasukan Liga Super dibenarkan menggunakan lima pemain import ketika berdepan lawan daripada liga sama menerusi format baharu yang diperkenalkan MFL pada 2019.

Namun, pasukan Liga Super hanya dibenarkan menggunakan empat pemain import manakala seorang lagi pemain import diletakkan di bangku simpanan ketika mereka berdepan pasukan Liga Premier atau Liga M3.

MFL turut membenarkan pasukan Liga Premier menyenaraikan empat pemain import manakala pasukan amatur - Liga M3 dibenarkan menggunakan dua pemain import ketika mereka berdepan sesama sendiri.

“Apa pun saya ingin mengucapkan terima kasih kepada coach Azraai atas cadangan tersebut. Izinkan saya untuk melihat dan mengkajinya semula sebelum memberikan maklum balas mengenainya,” jelas Stuart.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!