Malayan Tigress bermula langkah kiri

Skuad bola sepak wanita negara ketika menjalani sesi latihan di Stadium Al-Ibreh, Palestin sehari sebelum aksi menentang Thailand. -Foto: FAM
Skuad bola sepak wanita negara ketika menjalani sesi latihan di Stadium Al-Ibreh, Palestin sehari sebelum aksi menentang Thailand. -Foto: FAM
A
A
A

SKUAD bola sepak wanita Malaysia memulakan kempen Kelayakan Piala Asia Wanita 2022 dengan langkah kiri apabila tewas 0-4 kepada Thailand di Stadium Faisal Al-Husseini, Palestin sebentar tadi.

Thailand yang tampil selaku pasukan pilihan nyata berada pada kelas tersendiri apabila menguasai sepenuhnya aksi Kumpulan H itu dengan serangan bertali arus ke kubu Malayan Tigress.

Sebaliknya, skuad negara kendalian Jacob Joseph gagal memberi tentangan kepada Thailand yang menduduki tangga ke-32 dunia sepanjang 90 minit perlawanan berlangsung.

Thailand membuka tirai gol seawal minit pertama menerusi Kanyanat Chetthabutr sebelum Nutwadee Pram-nak menambah gol kedua berselang dua minit kemudian.

Kanyanat sekali lagi merobek gawang Malayan Tigress pada minit ke-37 sebelum dia memahat namanya selaku penjaring hatrik dengan gol keempat pada penghujung perlawanan.

Skuad Malayan Tigress dijadualkan menentang Palestin pada aksi terakhir Kumpulan H di venue yang sama pada Rabu ini.

Untuk rekod, juara kumpulan akan layak ke pusingan akhir Piala Asia pada tahun depan yang bakal berlangsung di India.

Setakat ini, empat pasukan sudah mengesahkan tempat ke pusingan akhir iaitu India selaku tuan rumah selain Jepun (juara 2018), Australia (naib juara 2018) dan China (tempat ketiga 2018).

Artikel Berkaitan: