Speedy Tigers perkenal DNA Malaysia

Skuad Speedy Tigers berkelana ke UK selama sebulan. - FOTO: FB MHC
Skuad Speedy Tigers berkelana ke UK selama sebulan. - FOTO: FB MHC
A
A
A

SKUAD The Speedy Tigers bakal memperkenalkan ‘DNA Malaysia’ dengan memperagakan corak permainan baharu ala Malaysia pada siri Jelajah United Kingdom (UK) 2021.

DNA Malaysia atau falsafah baharu dalam skuad hoki lelaki kebangsaan itu bercorak lebih proaktif berbanding pasif sebelum ini dan bakal menguji penerimaan pemain dengan kaedah baharu yang cuba diterapkan oleh ketua jurulatih A. Arul Selvaraj.

Menurut jurulatih berpengalaman itu, beliau tidak sabar untuk melihat bagaimana anak buahnya menyesuaikan diri dengan sistem permainan baharu sepanjang tempoh jelajah tersebut selama sebulan, bermula Ahad depan.

“Ini semua tentang permainan sudut dan mengawal permainan - itulah asas kepada corak permainan baharu ini.

“Saya tidak pernah mencipta sistem ini sebelum ini. Saya menghabiskan banyak masa untuk melaksanakan sistem ini yang direka khas mengikut kesesuaian setiap pemain yang sedia ada,” katanya kepada Bernama pada Ahad.

Walaupun bekas pemain kebangsaan itu gembira melihat visi baharu itu berjalan lancar semasa sesi latihan namun katanya, cabaran sebenar adalah bagaimana pemain dapat menterjemahkan apa yang diperlukan daripada mereka ketika berdepan dengan pasukan lawan.

Dalam pada itu, beliau berharap segala perancangan akan berhasil dan mencabar anak buahnya menggunakan siri jelajah ini sebagai platform untuk menampilkan keupayaan masing-masing dan membuka mata pasukan lawan.

Bekas jurulatih skuad Universiti Kuala Lumpur itu, bagaimanapun, mengakui kekurangan latihan fizikal menjelang siri jelajah itu menjadi penghalang untuk pemain beraksi dengan lebih baik namun memuji usaha pemain meningkatkan kecergasan dan latihan menguatkan otot secara sendiri.

Artikel Berkaitan:

“Kami akan berdepan dengan ujian getir kerana pasukan lain di UK telah mempunyai sesi latihan yang lengkap serta mengambil bahagian dalam kejohanan sebelum menyertai jelajah ini.

“Kami hanya menjalani latihan fizikal selama tiga minggu di Bukit Jalil sejak 30 Ogos lalu dan sebelum itu pemain hanya menyertai latihan dalam talian kerana Perintah Kawalan pergerakan (PKP),” katanya.

Arul Selvaraj berkata, bukan sahaja itu, skuad kebangsaan tidak menyertai sebarang siri jelajah antarabangsa hampir dua tahun ekoran penularan wabak pandemik Covid-19.

Seramai 23 pemain berlepas ke UK awal pada Ahad dengan tujuan mempersiapkan pasukan menghadapi kejohanan Piala Asia 2022 yang juga aksi kelayakan Piala Dunia 2023 serta mengumpul mata untuk ranking dunia.

Mengikut jadual awal, The Speedy Tigers akan melengkapkan aksi menentang pasukan berstatus kelab terlebih dahulu, apabila bertemu Old Georgians pada 26 September ini, diikuti Surbiton HC (28 Sept), Hampstead & Westminster HC (29 Sept) dan Beeston HC pada 1 Oktober.

Skuad kebangsaan itu kemudian akan mengharungi cabaran menentang skuad kebangsaan Ireland pada 5 dan 6 Oktober, diikuti Wales (9 dan 12 Oktober) dan Perancis pada 15 dan 18 Oktober ini. -Bernama