Jumlah kes sembuh harian Covid-19 terus atasi kes baharu

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Jumlah harian pesakit Covid-19 yang pulih di negara ini terus merekodkan angka lebih tinggi berbanding jangkitan baharu pada Ahad.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 23,469 kes sembuh dicatatkan pada Ahad berbanding 14,954 kes baharu.

Beliau berkata, ia menjadikan jumlah keseluruhan kes pulih Covid-19 ialah sebanyak 1.8 juta orang dengan kadar kesembuhan 88.9 peratus.

“Kes yang memerlukan rawatan di unit rawatan rapi (ICU) ialah seramai 1,194 orang dengan 312 daripadanya merupakan kes disyaki dan masih dalam siasatan.

“Sebanyak 665 kes pula memerlukan bantuan pernafasan dengan 264 daripadanya merupakan kes disyaki dan masih dalam siasatan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Dr Noor Hisham berkata, daripada keseluruhan kes baharu yang direkodkan pada Ahad, sebanyak 243 kes atau 1.6 peratus adalah dalam kategori tiga, empat dan lima; manakala selebihnya 14,711 kes atau 98.4 peratus terdiri daripada kategori satu dan dua.

Beliau berkata, kadar kebolehjangkitan Covid-19 atau R-naught (Rt) di Malaysia pada Sabtu adalah 0.94 dengan tujuh negeri merekodkan nilai melebihi angka tersebut iaitu Sarawak (1.08), Pahang dan Terengganu (masing-masing 1.05), serta Johor dan Perak (masing-masing 1.01).

Katanya, turut melebihi nilai Rt nasional ialah dua lagi negeri iaitu Pulau Pinang (0.99), Kelantan (0.97), Putrajaya (0.93), Melaka dan Perlis (masing-masing 0.91), Sabah (0.91), Kedah (0.91), Negeri Sembilan (0.86), Selangor (0.84), Kuala Lumpur (0.81) dan Labuan (0).

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, daripada 19 kluster baharu direkodkan setakat jam 12 tengah hari Ahad, sebanyak 13 adalah kluster tempat kerja, diikuti komuniti (empat), manakala pusat tahanan dan kumpulan berisiko tinggi masing-masing mencatatkan satu kluster baharu.

“Jumlah kluster aktif di seluruh negara kini ialah sebanyak 1,348 kluster,” ujarnya.