X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Individu jalani HSO dikesan daftar masuk 523 kali ke premis

Khairy Jamaluddin
A
A

ALOR SETAR - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesan 523 kali daftar masuk ke premis dalam kalangan individu positif yang diarahkan menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) di Kedah.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, Kedah perlu memastikan pemantauan terhadap mereka yang disahkan positif Covid-19 dan menjalani kuarantin di rumah.

Menurut Ahli Parlimen Rembau itu, ia susulan ada maklumat bahawa ada individu perlu menjalani HSO dikesan keluar rumah.

"Saya maklumkan kepada Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor bahawa sebanyak 523 kali daftar masuk melalui aplikasi MySejahtera dikesan dalam tempoh seminggu.

"523 ini bukan orang tapi bilangan daftar masuk, sedangkan mereka tidak boleh keluar, " katanya kepada pemberita selepas lawatan kerja dan Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Imunisasi Covid-19 (CITF) di Wisma Darul Aman di sini pada Ahad.

Khairy memberitahu, sebanyak 18 peratus daripada 523 kali daftar masuk ini dikesan di pasar raya.

Beliau meminta semua pemilik premis supaya melaksanakan pengawasan ketat di pintu masuk premis mereka.

"Apabila ada individu yang perlu menjalani HSO dapat daftar masuk pasar raya, ia bermaksud ada pengawal keselamatan ataupun penjaga tidak memeriksa dengan teliti,"katanya.

"Mereka kena semak teliti status MySejahtera sebelum dibenarkan pengunjung masuk ke pasar raya, kedai runcit dan sebagainya," kata beliau.

Beliau menegaskan individu yang menjalani HSO sepatutnya mematuhi perintah tersebut.

Khairy memaklumkan nama individu tidak patuh HSO akan dihantar kepada Jabatan Kesihatan untuk tindakan lanjut.

Antara lain, katanya, Kedah perlu berusaha meningkatkan kadar vaksinasi di negeri ini berikutan 17 peratus penduduk dewasa masih belum menerima suntikan dos pertama.

"Antara daerah perlu diberi perhatian adalah Pendang dan Baling yang dikhuatiri terbelakang dalam program vaksinasi," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!