X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 18 Oktober 2021

Sindiket pemalsuan sijil digital vaksin berdepan tindakan

Khairy Jamaludin - Foto Bernama
A
A

SHAH ALAM - Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menegaskan bahawa pihaknya tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap individu yang terlibat dalam sindiket pemalsuan sijil digital vaksin.

Beliau yang menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab kerana tindakan itu adalah satu cubaan untuk menggagalkan usaha kerajaan memulihkan negara daripada wabak Covid-19.

“Perbuatan tersebut adalah satu penghinaan kepada usaha gigih petugas barisan hadapan dan sukarelawan vaksin dalam memastikan seramai mungkin penduduk Malaysia menerima vaksinasi lengkap.

“Saya telah menyasarkan untuk menyelesaikan aduan-aduan berhubung sijil vaksin digital dalam aplikasi MySejahtera.

“Saya juga ingin mengingatkan para petugas pusat pemberian vaksin (PPV) supaya semak dan pastikan setiap penerima vaksin telah menerima sijil vaksin digital dalam aplikasi MySejahtera sebelum mereka meninggalkan PPV,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, terdapat aduan daripada individu yang menerima vaksin di PPV yang bukan dikendalikan oleh KKM dan ProtectHealth Corporation (Protect Health).

Masalah tersebut kata beliau berlaku kerana PPV-PPV tersebut tidak menggunakan sistem MySejahtera.

Tambah beliau, situasi tersebut menyebabkan sijil vaksin digital tidak dapat dipaparkan dalam aplikasi MySejahtera sebaik sahaja proses pemberian vaksin selesai.

“Sijil digital vaksin hanya akan dipaparkan dalam MySejahtera di PPV dalam kendalian KKM sahaja.

“Saya ingin memaklumkan bahawa dalam tempoh seminggu, MySejahtera telah menyelesaikan lebih 500,000 masalah ketiadaan paparan sijil vaksin digital dalam aplikasi tersebut dan akan terus mengemaskini maklumat penerima vaksin dari semasa ke semasa.

“Bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap tetapi masih belum menerima sijil vaksin digital di dalam aplikasi MySejahtera, anda boleh menggunakan kad vaksinasi fizikal untuk memanfaatkan kemudahan bagi individu yang telah menerima vaksinasi lengkap,” ujarnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!