99.74 peratus kes baharu di Sarawak tiada gejala, gejala ringan

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Sebanyak 99.74 peratus daripada 2,707 kes baharu jangkitan Covid-19 di Sarawak pada Ahad tidak bergejala dan bergejala ringan, menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

JPBN Sarawak menerusi satu kenyataan memaklumkan daripada jumlah kes baharu itu, 1,788 kes merupakan kategori satu (tiada gejala), 912 kes kategori dua (gejala ringan), satu kes kategori tiga (jangkitan paru-paru), dua kes kategori empat (memerlukan oksigen) dan empat kes kategori lima (memerlukan ventilator).

“Dengan penambahan kes baharu itu, jumlah kumulatif kes Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 179,788 kes,” kata kenyataan itu.

Selain itu, pada Ahad juga sebanyak 20 kematian direkodkan di Sarawak sekali gus menjadikan angka kematian meningkat kepada 689 orang.

Kesemua mangsa yang berusia lingkungan 45 hingga 97 tahun itu mempunyai latar belakang penyakit kronik seperti penyakit darah tinggi, jantung dan buah pinggang.

JPBN turut mengisytiharkan satu kluster baharu melibatkan pekerja di sebuah premis makanan di Miri iaitu Kluster Jalan Taman Raja dengan 24 individu dikesan positif Covid-19 hasil saringan 151 individu. - Bernama

Artikel Berkaitan: