X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 29 November 2021

Olimpik Paris 2024: Jadual padat menanti skuad badminton negara

Foto Reuters
A
A

JADUAL perlawanan padat menanti atlet kebangsaan dengan sebahagiannya mungkin berada di luar negara hingga akhir tahun ini selepas Persatuan Badminton Malaysia (BAM) membentangkan perancangan kejohanan yang kebanyakannya berlangsung berturut-turut.

Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Han berkata, ia sebahagian daripada rancangan untuk mempersiapkan barisan pemain muda negara bagi Olimpik Paris 2024, yang tinggal tiga tahun selepas temasya di Tokyo tertangguh berikutan pandemik Covid-19.

“Kita hanya ada masa tiga tahun, ia cukup mencabar kerana ramai pemain muda mungkin bagus tetapi mereka juga memerlukan masa untuk meningkatkan ranking masing-masing dan perlu bermain di kejohanan lebih tinggi tahapnya. Jadi kita mahu bermula seawal mungkin, bermakna mereka perlu mula bertanding tahun ini juga,” katanya kepada pemberita.

Senarai panjang perlawanan bermula dengan Piala Sudirman di Vantaa, Finland dari 26 September hingga 3 Oktober, diikuti pertandingan akhir Piala Thomas dan Uber di Aarhus, Denmark (9-7 Okt), Terbuka Denmark di Odense (19-24 Okt) dan Terbuka Perancis (26-31 Okt).

Choong Hann berkata, kemudian skuad negara akan terus ke Bali untuk Masters Indonesia (16-21 Nov), Terbuka Indonesia (23-28 Nov) dan Jelajah Dunia Akhir (1-5 Dis), sebelum kembali semula ke Eropah untuk Kejohanan Dunia (12-19 Dis) di Huelva, Sepanyol.

Ini bermakna, beberapa pemain seperti perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia mungkin bertanding dalam lapan kejohanan bermula akhir bulan ini hingga Disember.

Choong Hann menegaskan adalah penting untuk menyertai kejohanan utama Jelajah Dunia Persekutuan Badminton Dunia (BWF) seperti Terbuka Denmark, Terbuka Perancis dan Terbuka Indonesia bagi menempah tiket ke Jelajah Dunia Akhir.

“Kita perlu berurusan dangan SOP (prosedur operasi standard) Covid-19 di pelbagai negara dan melalui tempoh kuarantin (14 hari) jika kita balik ke tanah air, sebab itu antara perjalanan kita buat sekali jalan sahaja.

“Sebenarnya ia memberi kesan, tapi pada masa sama, kita mempunyai satu atau dua minggu tempoh rehat antara satu-satu perlawanan. Kita sedang membuat persiapan menghadapi situasi itu, kita bawa bersama peralatan ringan untuk program kekuatand an penyesuaian bagi mengelakkan kecederaan di samping mengekalkan kecergasan pemain,” katanya.

Sementara itu, Choong Hann mahu melihat pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meraih kejuaraan pertama mereka selepas aksi cemerlang di Tokyo.

“Saya percaya pingat gangsa dimenangi itu mendorong mereka berlatih lebih gigih dan memasang impian lebih tinggi. Ia dapat dilihat menerusi sikap mereka ketika latihan, bukan mereka bukan sahaja malah seluruh pasukan negara. Kita mempunyai sasaran untuk pemain memenangi beberapa kejohanan dan kita semua berganding bahu untuk mencapainya,” katanya. - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!