Tiga negeri bakal jadi pengeluar utama susu segar

Hasni ( tiga dari kiri) menyerahkan kunci rumah kepada penduduk bagi projek penempatan semula perumahan di Kampung Pendas Baru Fasa 2 di Iskandar Puteri pada Ahad.
Hasni ( tiga dari kiri) menyerahkan kunci rumah kepada penduduk bagi projek penempatan semula perumahan di Kampung Pendas Baru Fasa 2 di Iskandar Puteri pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Johor, Pahang dan Terengganu bakal menjadi pengeluar utama susu segar negara pada masa akan datang dalam langkah memperluaskan sektor industri berkenaan dengan sokongan kerajaan Persekutuan.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, perkara terbabit telah dibincangkan ketika pertemuan beliau bersama Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Mersing pada Sabtu.

"Ketiga- tiga negeri ini sedia untuk menjalinkan kerjasama menjadi pengeluar susu segar. Perbincangan awal terbabit telah saya maklumkan kepada Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang mengadakan lawatan dua hari di negeri sejak semalam.

"Diharapkan permohonan peruntukan untuk Terengganu dan Pahang bagi memperluaskan sektor industri susu segar ini juga dapat diputuskan pada kadar segera agar projek dirancang dapat berjalan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pada sesi penyerahan kunci Projek Perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2 di sini pada Ahad.

Hasni menambah, Johor bakal mempunyai pusat pengeluaran susu segar di Mersing iaitu Jemaluang Dairy Valley yang berkeupayaan mengeluarkan kira-kira 5.1 juta liter susu segar setiap hari.

Katanya, Jemaluang Dairy Valley yang dibangunkan dengan peruntukan awal sebanyak RM70 juta itu masih dalam lantikan kontraktor dijangka siap pada akhir tahun ini.

Sebelum itu, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan menerima kunjungan tiga menteri besar terbabit di Mersing pada Sabtu. Pertemuan itu telah dimuat naik dalam Facebook rasmi baginda pada hari yang sama.

Artikel Berkaitan:

Tiga menteri besar terbabit sebelum itu menghadiri Majlis Taklimat Projek Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Bersama Menteri Besar-Menteri Besar Wilayah Ekonomi Pantai Timur.

-end