Johor harap syarat MM2H dikaji semula

Hasni (tiga dari kiri) menyerahkan kunci rumah kepada penduduk bagi projek penempatan semula perumahan di Kampung Pendas Baru Fasa 2 di Iskandar Puteri pada Ahad.
Hasni (tiga dari kiri) menyerahkan kunci rumah kepada penduduk bagi projek penempatan semula perumahan di Kampung Pendas Baru Fasa 2 di Iskandar Puteri pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kerajaan negeri berharap Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H) yang masih mengenakan syarat ketat terhadap para pesertanya dikaji semula sebelum ia dilaksanakan.

Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad berkata, sekiranya syarat yang ketat itu masih dikenakan, ia dibimbangi akan memberi kesan kepada Johor yang berjiran dengan Singapura.

Katanya, kebimbangan berhubung perkara itu telah disuarakan ketika bertemu dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dalam rangka lawatan ke negeri Johor sejak Jumaat.

"Kerajaan negeri berharap agar MM2H ini dikaji semula. Dengan apa yang diumumkan, Johor amat terkesan sekiranya pihak Kementerian Dalam Negeri (KDN) enggan menyemak semula syarat ketat MM2H.

"Kita melihat perlunya syarat-syarat peserta MM2H ini dilonggarkan mengikut syarat-syarat lama program itu dan bukannya mengikut peraturan baharu yang ditetapkan," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan penyerahan 46 unit rumah kepada penduduk untuk projek penempatan semula perumahan Kampung Pendas Baru Fasa 2 di sini pada Ahad.

Pada Jumaat, Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa kecewa terhadap KDN kerana enggan menyemak semula syarat ketat MM2H yang ditetapkan baru-baru ini.

Baginda turut bertitah akan membangkitkan perkara ini secara peribadi kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam tempoh terdekat, memandangkan Johor merupakan antara destinasi popular MM2H, selain sumbangan program berkenaan kepada pendapatan negeri.

Artikel Berkaitan:

Baginda Tuanku Sultan bertitah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin sebelum ini menyatakan bahawa kerajaan akan menyemak semula syarat ketat Program MM2H.

“Namun, apa yang kita dengar di Parlimen hanyalah janji untuk mempertimbangkan permohonan peserta MM2H berdasarkan kes demi kes, dan ini adalah diluar jangkaan dan sesuatu yang mengecewakan.

“Jika keselamatan adalah justifikasi utama untuk kriteria baharu, maka pihak kementerian hanya perlu membatalkan visa pemegang pas MM2H yang didapati melakukan kesalahan dan bukannya melibatkan semua peserta,” titah baginda.

Hasni berkata, program MM2H itu memberi impak kepada kerajaan negeri kerana kedudukan Johor yang berjiran dengan Singapura.

"Kebimbangan kerajaan negeri dalam soal ini telah disuarakan ketika menerima kunjungan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz," katanya.