Pengurusan kebumi mangsa orang asli proses biasa

Gambar hiasan - Foto fail Bernama
Gambar hiasan - Foto fail Bernama
A
A
A

IPOH - Video tular di media sosial memaparkan pengurusan pengebumian mangsa Covid-19 di Perkampungan Orang Asli Ulu Geroh, Gopeng dekat sini adalah proses biasa yang dijalankan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sains, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau Perak Mohd Akmal Kamarudin berkata, pengurusan pengebumian jenazah melalui laluan sungai itu disebabkan lokasi perkuburan terletak di seberang sungai perkampungan orang asli terbabit.

Sementara itu Mohd Akmal berkata, masyarakat orang asli di Ulu Geroh yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) memberi kerjasama baik kepada petugas dan sebilangan kes positif telah dihantar ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) di Sungkai.

"Pengoperasian Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di lokasi berkenaan dikawal rapi oleh Polis Diraja Malaysia dan Pasukan Gerakan Am serta bantuan makanan asas turut disediakan dan diselaraskan oleh Jawatankuasa Bencana Daerah Kampar serta Jabatan Kemajuan Orang Asli.

"Saya ingin menasihati orang ramai agar tidak sewenang-wenangnya menularkan mesej dan video yang boleh mengakibatkan kegemparan awam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mohd Akmal berkata, seluruh petugas barisan hadapan di PKPD perkampungan berkenaan amat komited dengan tanggungjawab diberikan, maka tidak wajar mana-mana pihak menularkan berita tidak sahih yang boleh mencetuskan situasi panik.

Terdahulu, tular satu video berdurasi 24 saat di media sosial memaparkan anggota JKN lengkap memakai kelengkapan perlindungan diri (PPE) mengusung jenazah menyeberangi sungai.

Video yang tular sejak beberapa hari lepas itu turut mendakwa sebanyak 250 orang asli di Gopeng positif Covid-19 selain ada yang melarikan diri ke dalam hutan dan mengatakan terdapat enam kematian termasuk Tok Batin serta meminta orang ramai tidak mandi di sungai berdekatan.

Artikel Berkaitan:

PKPD dilaksanakan di perkampungan orang asli tersebut bermula 12 hingga 25 September merekodkan sebanyak 204 kes positif kumulatif Covid-19 dengan enam kematian dilaporkan dalam kalangan penduduk orang asli di situ hingga Jumaat lepas.- Bernama