Najib mahu bertanding PRU15

Najib
Najib
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak tidak menolak kemungkinan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU) meskipun telah disabitkan atas kesalahan rasuah termasuk masih berdepan pelbagai perbicaraan lain.

Perkara itu dinyatakan dalam wawancara bersama agensi berita Reuters yang dilaporkan pada Ahad.

Memetik laporan berkenaan, bekas Perdana Menteri itu menyifatkan setiap ahli politik yang mahu berkhidmat akan meletakkan hasrat untuk bertanding dalam PRU bagi mendapatkan mandat rakyat.

"Mana-mana ahli politik yang ingin memainkan peranan akan menginginkan kerusi di Parlimen," katanya.

Bagaimanapun jelas Najib, soal sama ada beliau layak untuk bertanding atau tidak dalam PRU akan datang adalah tertakluk kepada tafsiran peruntukan Perlembagaan Persekutuan.

"Itu bergantung pada tafsiran daripada segi undang-undang, Perlembagaan dan apa sahaja yang berlaku dalam proses mahkamah," katanya.

Najib yang menjadi Perdana Menteri keenam dari 2009 hingga 2018, menjadi ketua negara pertama di Malaysia yang diheret ke mahkamah.

Tahun lalu, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohd Nazlan Mohd Ghazali, menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Najib selepas didapati bersalah terhadap tujuh tuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Najib telah mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu.

Selain kes SRC, Najib juga masih berdepan beberapa kes mahkamah berhubung dana 1Malaysia Development Bhd (1MDB).