Ibu maut, bayi terselamat nahas di LPT2

Mangsa yang cedera parah pada bahagian kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.
Mangsa yang cedera parah pada bahagian kepala meninggal dunia di lokasi kejadian.
A
A
A

HULU TERENGGANU - Bayi perempuan berusia lima bulan selamat manakala ibunya maut selepas kenderaan dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan di kilometer 380.5 Jalan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT 2) arah Ajil-Bukit Besi pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, ibu bayi berkenaan, Nurshahyda Mohd Zaki, 29 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada bahagian kepala.

Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud berkata, siasatan awal mendapati kenderaan dinaiki mangsa bersama suami, Ahmad Rakeymi Hafey Roslam, 29 bertolak dari arah Setiu menuju ke Dungun untuk melawat ibu mertua.

Bagaimanapun, katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, kenderaan pacuan empat roda (4x4) jenis Ford Ranger dinaiki mangsa dirempuh pada bahagian kiri oleh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Estima yang dipandu seorang lelaki berusia 19 tahun.

"MPV berkenaan yang ketika itu dari arah Kuala Terengganu menghala ke Bukit Besi hilang kawalan secara tiba-tiba ketika sedang memotong sebelah kiri kenderaan dinaiki mangsa seterusnya merempuh bahagian sisi kenderaan di sebelah kiri.

"Akibat rempuhan itu, mangsa yang ketika itu berada di bahagian hadapan tempat duduk penumpang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya kepada pemberita pada Ahad.

Mohd Adli berkata, mayat mangsa telah di hantar ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk menjalani pemeriksaan Covid-19 dan bedah siasat.

Katanya, kes itu disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Artikel Berkaitan: