Cubaan seludup 2,150kg daun ketum ke negara jiran gagal

PGA merampas daun ketum seberat 2,150 kg di sebuah rumah di Kampung Air Mebo, Tanah Merah pada Sabtu.
PGA merampas daun ketum seberat 2,150 kg di sebuah rumah di Kampung Air Mebo, Tanah Merah pada Sabtu.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan mematahkan cubaan menyeludup daun ketum ke negara jiran apabila merampas sejumlah 2,150 kilogram (kg) di sebuah rumah di Kampung Air Mebo, Tanah Merah pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, dalam serbuan jam 7 malam itu, kesemua daun ketum itu ditemui di tiga lokasi berasingan di kawasan rumah berkenaan.

"Semasa serbuan dilakukan, sekumpulan lelaki yang menyedari kehadiran anggota PGA telah bertindak melarikan diri ke kawasan semak.

"Anggota PGA telah berusaha mengesan kesemua lelaki itu, namun gagal," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar telah menjumpai sebuah bangsal di belakang rumah tersebut yang mengandungi daun ketum.

Katanya, pemeriksaan lanjut di kawasan garaj rumah pula telah menjumpai plastik lut sinar yang mengandungi daun ketum.

Beliau berkata, pemeriksaan di bahagian ruang tamu rumah turut membawa kepada penemuan bungkusan daun ketum.

"Selain itu kita turut menjumpai lima unit telefon bimbit pelbagai jenama yang ditinggalkan oleh suspek semasa melarikan diri.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua barang kes telah diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.

Azhari berkata, pihaknya turut merampas lima buah kereta, sebuah pacuan empat roda dan empat buah motosikal membabitkan nilai keseluruhan rampasan ialah RM243,250.

Katanya, kejayaan itu hasil maklumat berkait dengan penyeludupan ketum.