Kerajaan Perak bincang semula isu jual istana lama

Kerajaan negeri akan lihat semula isu berhubung jualan secara tender terbuka kawasan bangunan istana lama yang dikenali Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan. Gambar kecil: Saarani
Kerajaan negeri akan lihat semula isu berhubung jualan secara tender terbuka kawasan bangunan istana lama yang dikenali Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan. Gambar kecil: Saarani
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri akan melihat semula isu berhubung jualan secara tender terbuka kawasan bangunan istana lama yang dikenali Istana Raja Muda di Jalan Syed Abu Bakar di Teluk Intan.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, perkara itu akan dibawa ke Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri (MMKN) berikutan keputusan itu dibuat tahun lalu.

Menurut beliau, Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi turut dimaklumkan mengenai perkara ini untuk dikaji semula.

"Saya akan bawa semula perkara itu dalam mesyuarat Exco pada Rabu ini untuk kita lihat kembali kerana ia adalah keputusan Exco yang dibuat pada tahun lepas untuk kita tender tanah berkenaan.

"Setelah ada beberapa bantahan dan pandangan-pandangan lain mengenai beberapa kawasan bersejarah yang perlu dipelihara, kita sudah maklum kepada Nolee untuk melihat perkara ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas meninjau runtuhan jalan di Laluan Persekutuan FT185 Jalan Simpang Pulai - Blue Valley, (Cameron Highlands) di sini pada Ahad.

Saarani berkata, sebarang keputusan mengenai jualan kawasan bersejarah itu akan diputuskan pada mesyuarat berkenaan.

"Setakat ini belum ada keputusan dan tender itu pun baru dibuka. Apa pun keputusan perlu dibuat dalam mesyuarat Exco kerana ia adalah keputusan pimpinan kerajaan negeri," katanya.

Menerusi laporan media baru-baru ini, kawasan bangunan istana lama yang berkeluasan dua hektar itu dibuka untuk jualan secara bidaan terbuka.

Artikel Berkaitan:

Kawasan yang dianggap sebagai warisan sejarah Kesultanan Perak itu dikatakan mempunyai nilai tinggi untuk pembangunan projek komersial dan bangunan bercampur.