X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Banjir: JBPM fokus pengurusan bencana di enam negeri

Mohammad Hamdan (kiri) menyampaikan tanda pangkat kepada Pegawai Bomba Tinggi II, Bazri Abdul Rahman pada lawatan kerja ke JBPM Kelantan pada Ahad.
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) bersiap sedia untuk memfokus kepada enam buah negeri bagi menghadapi perubahan musim tengkujuh atau Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka melanda tidak lama lagi.

Ketua Pengarah JBPM, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata, fokus yang dimaksudkan itu melibatkan pengurusan bencana di enam buah negeri iaitu Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Pahang dan Johor.

"Berpandukan kepada maklumat yang dikeluarkan oleh Jabatan Meteorologi Malaysia, kemungkinan tahap bencana kali ini hampir sama atau lebih sedikit berbanding tahun lalu.

"2020 adalah tahun yang cukup mencabar dan bencana tersebut lebih besar," katanya kepada pemberita ketika ditemui semasa lawatan kerja ke JBPM Kelantan pada Ahad.

Pada majlis tersebut beliau juga menyampaikan tanda pangkat Pegawai Bomba Tinggi II (Gred KB 26) kepada tujuh orang pegawai.

Menurutnya, jika perbandingan dibuat tahun lalu adalah bencana kedua yang terbesar berbanding 2014.

Pada tahun 2020 kata beliau, banyak kawasan yang tidak pernah dilanda banjir telah dilanda bencana itu dengan begitu dahsyat sekali gus pengalaman tersebut menjadikan JBPM telah bersedia untuk berdepan dengan sebarang kemungkinan.

Mohammad Hamdan berkata, susulan insiden yang berlaku pada tahun lalu, JBPM mengambil langkah dengan tidak hanya bergantung kepada kawasan-kawasan panas sahaja yang sering dilanda banjir sebaliknya memperluaskan lagi ke lokasi-lokasi lain.

"Misalnya, pada tahun lalu di Pahang ada beberapa kawasan yang sebelum ini tidak terkesan dengan MTL telah merasainya apabila air naik dengan begitu cepat, sehinggakan kawasan itu menjadi teruk.

"Jadi, nasihat kami kepada penduduk supaya sentiasa bersama agensi kecemasan dan dapatkan maklumat semasa berkait bencana banjir," katanya.

Beliau berkata, orang ramai diingatkan supaya sentiasa menyimpan barang-barang berharga di tempat yang selamat.

Selain itu, beliau turut menasihatkan supaya mereka mengetahui lokasi pusat pemindahan sementara (PPS) yang berdekatan dengan kawasan tempat tinggal.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan memberitahu, segala aset-aset JBPM sudah berada dalam keadaan bersiap sedia untuk menghadapi musim tengkujuh tahun ini.

"Aspek latihan menyelamat turut diberi keutamaan kepada anggota JBPM sebagai persediaan tugas menyelamat pada musim banjir nanti," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!