Pulih, stabil emosi kanak-kanak yatim piatu akibat Covid-19

Rina selepas meninjau dan pemantauan taska yang akan beroperasi dalam negeri-negeri Fasa Satu dan Dua PPN bermula esok di Taska Nur Hidayu Taman Mawar Perdana, Bandar Baru Salak Tinggi hari ini. - Foto Bernama
Rina selepas meninjau dan pemantauan taska yang akan beroperasi dalam negeri-negeri Fasa Satu dan Dua PPN bermula esok di Taska Nur Hidayu Taman Mawar Perdana, Bandar Baru Salak Tinggi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Aspek pemulihan dan kestabilan emosi kanak-kanak yang menjadi yatim atau yatim piatu akibat pandemik Covid-19 menjadi keutamaan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) bagi memastikan mereka dapat meneruskan kehidupan seperti biasa.

Menterinya Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, seramai 273 kaunselor Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dipertanggungjawabkan untuk memberikan kaunseling berkala kepada kanak-kanak yang trauma dan dikenal pasti memerlukan khidmat tersebut berdasarkan kepada situasi mereka.

“Ada yang menyatakan sampai sekarang walaupun ayahnya sudah meninggal sebulan lepas namun masih trauma dan tidak dapat terima kehilangan,” katanya kepada pemberita selepas melakukan tinjauan persediaan operasi taska di sini pada Ahad

Rina berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai nasib 4,422 murid sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) yang telah kehilangan ibu atau bapa atau penjaga akibat Covid-19 serta menjadi anak yatim atau yatim piatu akibat wabak itu.

Selain khidmat kaunseling, Rina berkata KPWKM menerusi JKM akan mengenal pasti waris atau saudara-mara yang boleh menjaga mereka berdasarkan peruntukan di bawah Seksyen 17 Akta Kanak-Kanak 2001.

“Kami (KPWKM) ingin pastikan mereka membesar dalam suasana kekeluargaan. Dengan adanya penjaga, kemungkinan emosi mereka akan kembali stabil seperti sedia kala selain mendapat khidmat kaunseling dari JKM,” katanya.

Bagi membantu meringankan beban penjaga kanak-kanak terbabit, Rina berkata kerajaan mewujudkan Tabung Bantuan Segera dan Bantuan Kanak-Kanak dengan menyalurkan RM250 sebulan bagi seorang kanak-kanak berusia bawah tujuh tahun dan RM150 sebulan bagi seorang kanak-kanak berusia tujuh tahun dan ke atas.

Bagi bantuan untuk satu keluarga pula beliau berkata, kerajaan telah mengumumkan kadar kenaikan maksimum dari RM450 sebulan kepada RM1,000 sebulan.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya tiada waris atau saudara-mara yang boleh menjaga, kanak-kanak terbabit akan ditempatkan di mana-mana tujuh institusi perlindungan kanak-kanak di bawah JKM di seluruh negara," katanya.

Institusi terbabit adalah Rumah Kanak-Kanak (RKK) Pokok Sena, Kedah; Taman Sinar Puteri (TSP) Batu Gajah, Melaka; TSP Cheras; Rumah Budak Lelaki (RBL) Melaka; RKK Mini Kelantan; TSP Kota Kinabalu dan TSP Kuching. - Bernama