Hampir 9,000 kakitangan taska lengkap vaksin

Rina (kanan) beramah mesra dengan Pengusaha Taska Nur Hidayu, Sabariah Abu ketika meninjau dan pemantauan taska yang akan beroperasi dalam negeri-negeri Fasa Satu dan Dua PPN bermula esok di Taman Mawar Perdana, Bandar Baru Salak Tinggi hari ini. - Foto Bernama
Rina (kanan) beramah mesra dengan Pengusaha Taska Nur Hidayu, Sabariah Abu ketika meninjau dan pemantauan taska yang akan beroperasi dalam negeri-negeri Fasa Satu dan Dua PPN bermula esok di Taman Mawar Perdana, Bandar Baru Salak Tinggi hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

SEPANG - Kira-kira 70 peratus atau 8,895 daripada 12,545 kakitangan taska berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara lengkap vaksinasi Covid-19.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun yang berpuas hati dengan perkembangan tersebut berkata, seramai 1,853 kakitangan taska pula telah menerima satu dos suntikan Covid-19 sehingga 17 September lepas manakala 1,797 kakitangan lagi sedang menunggu janji temu untuk mendapatkan suntikan.

“Saya minta pengusaha taska untuk pastikan SOP (prosedur operasi standard) dipatuhi bagi memastikan persekitaran taska selamat untuk kanak-kanak," katanya kepada pemberita selepas meninjau persediaan operasi taska di sini pada Ahad.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 16 September lepas mengumumkan tabika, taska, tadika, pusat jagaan harian serta pusat perkembangan minda untuk anak-anak yang ibu bapanya bekerja dibenarkan beroperasi di negeri Fasa Satu dan Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) berkuat kuasa 17 September.

Rina berkata, 2,618 pengusaha taska di seluruh negara telah mendapat manfaat daripada Bantuan Khas Taska di bawah Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (Pemulih) yang disediakan untuk kelangsungan operasi taska berdaftar JKM.

Katanya, bayaran telah dibuat mulai 1 September lepas yang menyediakan bantuan sebanyak RM3,000 bagi taska institusi, taska di tempat kerja dan taska komuniti manakala RM800 untuk pengusaha taska di rumah.

Beliau berkata, bantuan itu adalah untuk meringankan beban pengurusan taska dan membantu proses pengoperasian mereka seperti menanggung kos disinfeksi taska atau barang-barang keperluan lain agar taska dapat mematuhi SOP yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara. - Bernama

Artikel Berkaitan: