Guaido ambil ambil risiko ditahan pihak berkuasa Venezuela

Guaido melanggar larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya bagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin Paraguay, Argentina, Ecuador dan Brazil.- Foto AFP
Guaido melanggar larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya bagi mengadakan pertemuan dengan pemimpin Paraguay, Argentina, Ecuador dan Brazil.- Foto AFP
A
A
A

CARACAS - VENEZUELA. Pemimpin pembangkang Venezuela, Juan Guaido menyatakan kesediaan untuk kembali ke Caracas meskipun berdepan risiko ditahan pihak berkuasa kerana melanggar larangan perjalanan yang dikenakan terhadapnya oleh Mahkamah Tinggi.

Guaido mengumumkan akan berlepas dari pangkalan udara di Salinas, Ecuador dan tiba di Venezuela bagi mengetuai protes anti kerajaan di negara Amerika Selatan itu.

"Dengan ini saya mengumumkan kepulangan ke Caracas dan saya menggesa rakyat Venezuela untuk mengadakan perhimpunan besar-besaran seluruh negara.

"Sekiranya rejim Presiden Nicolas Maduro berani untuk menindas kita, ia kesilapan terakhir yang akan mereka lakukan," kata Guaido sambil menambah ini bukan masa untuk rakyat negara itu berpecah.

Terdahulu, Guaido yang dikecam penyokong Presiden Maduro kerana cuba membawa masuk kuasa AS, sekali gus menggulingkan pentadbiran presiden berkenaan dikenakan larangan perjalanan oleh Mahkamah Tinggi Venezuela.

Guaido bagaimanapun, mengingkari arahan tersebut dan meninggalkan Venezuela bagi menghadiri pertemuan bersama pemimpin Paraguay, Argentina, Ecuador dan Brazil, bertujuan untuk meningkatkan tekanan ke atas Presiden Maduro, selain mencari alternatif bagi membawa masuk bantuan kemanusiaan ke Venezuela.

Dalam pada itu, Timbalan Hakim Tribunal Keadilan Agung Venezuela, Juan Carlos Valdez berkata, Guaido yang juga Ketua Himpunan Kebangsaan berdepan hukuman penjara hingga 30 tahun kerana kesalahan meninggalkan Venezuela.

Sementara itu, Presiden Maduro yang menganggap Guaido sebagai boneka AS menegaskan pemimpin pembangkang berkenaan harus dihukum berikutan tindakannya yang melanggar undang-undang.

Artikel Berkaitan:

Guaido yang mengisytiharkan dirinya sebagai pemangku presiden Venezuela mendapat sokongan kuat AS dan hampir 50 negara sekutu lain termasuk beberapa negara Amerika Latin dan Eropah yang mendesak peletakan jawatan Presiden Maduro yang dilabel punca berlaku krisis kemanusiaan serta inflasi teruk di negara itu. - BBC