X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 19 Oktober 2021

2,150kg daun ketum dalam rumah

Daun ketum seberat 2,150 kg yang cuba diseludup ke negara jiran ditemui di sebuah rumah di Kampung Air Mebo, Tanah Merah pada Sabtu.
A
A

RANTAU PANJANG - Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuantan mematahkan cubaan menyeludup 2,150 kilogram (kg) daun ketum ke negara jiran di sebuah rumah di Kampung Air Mebo, Tanah Merah di sini pada Sabtu.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, kesemua daun ketum tersebut ditemui di tiga lokasi berasingan di kawasan rumah berkenaan dalam serbuan kira-kira jam 7 malam.

"Semasa serbuan dilakukan, sekumpulan lelaki yang menyedari kehadiran anggota PGA bertindak melarikan diri ke kawasan semak.

"Anggota PGA berusaha mengesan kesemua lelaki itu, bagaimanapun gagal," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Beliau berkata, pemeriksaan lanjut di kawasan sekitar menjumpai sebuah bangsal di belakang rumah tersebut yang mengandungi daun ketum.

Daun ketum ditemui di sebuah rumah di Kampung Air Mebo, Tanah Merah pada Sabtu.
Daun ketum ditemui di sebuah rumah di Kampung Air Mebo, Tanah Merah pada Sabtu.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di kawasan garaj rumah juga menemui plastik lut sinar yang mengandungi daun ketum.

"Pemeriksaan di bahagian ruang tamu rumah turut membawa kepada penemuan bungkusan daun ketum.

"Selain itu, kita turut menjumpai lima unit telefon bimbit pelbagai jenama yang ditinggalkan suspek semasa melarikan diri," ujarnya.

Beliau berkata, pihaknya turut merampas lima buah kereta, sebuah pacuan empat roda dan empat buah motosikal membabitkan nilai keseluruhan rampasan sebanyak RM243,250.

"Kesemua barang kes diserahkan kepada Pegawai Penyiasat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!