Pemandu lawan arus miliki empat rekod lampau dadah

Rakaman video tular sebuah MPV dikejar polis kerana memandu secara melawan arus di Sekinchan pada Jumaat.
Rakaman video tular sebuah MPV dikejar polis kerana memandu secara melawan arus di Sekinchan pada Jumaat.
A
A
A

SABAK BERNAM - Polis sudah mengenal pasti identiti pemandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dipandu melawan arus di Kilometer 72 Jalan Klang-Teluk Intan, Sekinchan di sini pada petang Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Deputi Superintendan Lim Chee Khoon berkata, lelaki berusia 26 tahun itu memiliki empat rekod lampau jenayah narkotik.

Beliau berkata, pihaknya sedang giat mengesan individu terbabit yang bertindak melompat keluar dari kenderaan dipandunya dalam keadaan masih bergerak hingga terbabas ke parit sebelah kiri jalan.

"Kita belum dapat mengesan di mana pemandu kenderaan tersebut. Hasil siasatan mendapati individu mempunyai rekod dadah," katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.

Pada Jumaat, dua individu yang menaiki kenderaan MPV melarikan diri daripada pemeriksaan polis sebelum memandu melawan arus sejauh dua kilometer dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang.

Polis bagaimanapun berjaya menahan penumpang MPV terbabit sebelu menemui sebanyak 19 paket dadah jenis syabu bernilai RM450 dalam beg sandangnya.

Ujian terhadap penumpang lelaki berusia 27 tahun itu juga mendapati dia positif methamphetamine.

Video kejadian tersebut yang berdurasi satu minit dua saat turut tular menerusi laman sosial.

Artikel Berkaitan: